Belanjawan 2020: Sarawak harap ‘khabar baik’ dalam usaha giatkan pembangunan atlet muda

KUCHING,. Sarawak berharap Belanjawan 2020 yang akan dibentangkan bulan depan antara lain akan dapat menyediakan peruntukan sewajarnya bagi membantu usaha kerajaan negeri membangunkan atlet muda tempatan dengan lebih giat lagi.

Menteri Menteri Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan Sarawak Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah berkata apa jua perancangan kerajaan nanti, ia pasti akan mempengaruhi perancangan Sarawak dalam pembinaan dan penambahbaikan insfrastruktur sukan negeri.

Bercakap kepada pemberita di persidangan media sempena World Crafts Cities Network Forum 2019 di sini, hari ini katanya beliau juga berharap belanjawan itu akan dapat menyampaikan khabar baik kepada kerajaan negeri dalam usaha mempergiatkan promosi pelancongan negeri tahun depan.

Belanjawan 2020 dengan tema Kemakmuran Bersama: Menjana Pertumbuhan Inklusif yang Berkualiti ke Arah Ekonomi Berpendapatan Tinggi akan dibentangkan oleh Menteri Kewangan Lim Guan Eng di Dewan Rakyat pada 11 Oktober depan.

Sementara itu Abdul Karim berkata Kuching dipilih menjadi tuan rumah World Crafts Cities Network Forum 2019 dari 8 hingga 10 November depan, dan setakat ini delegasi wakil dari 15 bandar dari luar negara termasuk Indonesia, Thailand, India, China dan Denmark telah mengesahkan kehadiran mereka ke forum itu.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This