Belanjawan 2021: RM9.4 bilion rapatkan jurang digital – MCMC

KUALA LUMPUR,. Peruntukan RM9.4 bilion yang diumum dalam Belanjawan 2021 bagi membangun strategi digital nasional merentasi sektor industri dan rakyat dilihat mampu merapatkan jurang digital secara holistik.

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) memaklumkan peruntukan itu juga mampu menyediakan infrastruktur telekomunikasi lebih baik dengan adanya program Jaringan PRIHATIN dan inisiatif Jalinan Digital Negara (JENDELA).

Menurut MCMC, program Jaringan PRIHATIN yang menelan belanja RM1.5 bilion akan dapat dimanfaatkan oleh lapan juta golongan B40.

“Bantuan ini akan mengurangkan beban kewangan mereka dalam mendapatkan kemudahan Internet. Mereka akan menerima RM180 seorang yang boleh digunakan untuk perbelanjaan langganan Internet atau menampung sebahagian kos pembelian telefon bimbit baharu.

“Ini ditambah pula dengan sumbangan daripada pihak industri sebanyak RM1.5 bilion untuk golongan sasaran yang sama,” menurut kenyataan itu.

Di bawah JENDELA pula, kerajaan telah memperuntukkan sejumlah RM500 juta bagi tahun 2021 bertujuan memastikan kesalinghubungan 430 sekolah di seluruh negara meliputi semua negeri bagi pembangunan generasi akan datang, menurut kenyataan itu.

Menurut MCMC, sejumlah RM42 juta turut diperuntukkan bagi menambah baik kesalinghubungan Internet di 25 kawasan perindustrian untuk meningkatkan daya tarik pelaburan di bawah pelan yang sama.

“MCMC pula akan memperuntukkan sebanyak RM7.4 bilion untuk tahun 2021 dan 2022 bagi memperluaskan perkhidmatan jalur lebar terutamanya di kawasan luar bandar,” katanya.

MCMC memberitahu, fasa satu JENDELA yang sudah bermula dan berterusan sehingga akhir 2022 akan memberi fokus pada usaha memperluaskan akses jalur lebar talian tetap berkelajuan gigabit kepada sebanyak 7.5 juta premis.

Fasa itu juga turut memberi keutamaan kepada melebarkan liputan jalur lebar mudah alih 4G daripada 91.8 peratus kepada 96.9 peratus di kawasan berpenduduk serta mempertingkatkan kelajuan jalur lebar mudah alih daripada 25Mbps kepada 35Mbps.

“(JENDELA fasa satu juga) melibatkan penamatan rangkaian 3G secara berperingkat sehingga akhir 2021 untuk pemantapan rangkaian 4G selaras dengan memperkukuhkan rangkaian asas bagi 5G,” menurut kenyataan itu.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )