
Belanjawan 2021 Sarawak dibentang hari ini
KUCHING,. Belanjawan 2021 Sarawak akan dibentangkan pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang bersidang selama lima hari, kata Speaker DUN Sarawak Datuk Amar Mohd Asfia Awang Nassar.
Belanjawan itu akan dibentang oleh Ketua Menteri merangkap Menteri Kewangan Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg sebagai Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan (2021) 2020, antara lima RUU yang dijadualkan dibentangkan dalam persidangan kali ini.
“Rang Undang-Undang lain (yang akan dibentangkan) ialah RUU Perbekalan Tambahan (2021) 2020; RUU Langkah-langkah Sementara untuk Mengurangkan kesan Penyakit Coronavirus 2019 (COVID-19); RUU Pihak Berkuasa Tempatan (Pindaan) 2020 dan RUU Perlembagaan Negeri Sarawak (Pindaan) 2020,” katanya kepada kepada pemberita selepas mesyuarat prapersidangan DUN Sarawak di sini semalam.
Persidangan kali ini dipendekkan kepada lima hari bermula 9 hingga 13 Nov ekoran peningkatan kes COVID-19 di negeri itu, berbanding pada asalnya dijadualkan berlangsung dari 9 hingga 18 Nov.
— BERNAMA