Belanjawan 2023: Kukuhkan hubungan dengan Persekutuan – Fadillah

Belanjawan 2023: Kukuhkan hubungan dengan Persekutuan – Fadillah

KUALA LUMPUR,. Agensi pelaksana di Sabah dan Sarawak perlu menjalin hubungan lebih baik dengan Kerajaan Persekutuan bagi menjayakan segala perancangan yang melibatkan kedua-dua negeri itu dalam Belanjawan 2023.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof berkata langkah itu penting kerana Belanjawan 2023 yang melibatkan peruntukan besar kepada kedua-dua negeri itu tidak akan dapat dilaksanakan melainkan kerjasama agensi pelaksana dapat ditingkatkan.

“Mungkin agensi pelaksana negeri perlu menjalin kerjasama lebih baik dengan agensi pelaksana persekutuan bagi pastikan segala peruntukan dan rangka kerja yang telah diumumkan dapat dilaksanakan.

“Ini penting supaya kita dapat cari jalan terbaik untuk melaksanakan segala projek ini yang cukup penting dalam meningkatkan kesejahteraan rakyat dan semestinya pembangunan negara,” katanya.

Beliau ditemui media selepas menyaksikan pembentangan Belanjawan 2023 oleh Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan Datuk Seri Anwar Ibrahim di Dewan Rakyat hari ini.

Fadillah berkata Perdana Menteri juga mengarahkan beliau supaya menjaga dan memantau segala perancangan pembangunan di kedua-dua negeri berkenaan.

“PM (perdana menteri) sebut spesifik saya terus jaga (Sabah dan Sarawak) khususnya melibatkan pembinaan Lebuhraya Pan Borneo dan jalan yang menghubungkan Sabah dan Sarawak.

“Saya juga diarahkan untuk memastikan projek-projek ini disiapkan seberapa segera yang boleh,” katanya.

Dalam Belanjawan 2023, Perdana Menteri mengumumkan Sabah dan Sarawak masing-masing menerima peruntukan pembangunan sebanyak RM6.5 bilion dan RM5.6 bilion.

Turut diumumkan peruntukan RM2.5 bilion bagi melaksanakan projek prasarana awam meliputi kemudahan jalan dan lampu jalan, bekalan air serta elektrik selain peruntukan RM30 juta bagi memperbanyak kemudahan klinik, bank dan mahkamah bergerak.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This