Belum ada bukti lelaki lebih mudah dijangkiti COVID-19

IPOH,. Kajian mengenai golongan lelaki lebih mudah dijangkiti COVID-19 berbanding wanita mengikut pandangan pakar saintis dari luar negara, masih belum dibuktikan sepenuhnya, kata Timbalan Menteri Kesihatan Dr Lee Boon Chye.

Katanya, Kementerian Kesihatan tidak akan membuat sebarang kesimpulan, sebelum kajian secara terperinci dilakukan terlebih dahulu.
“Virus baharu ini kita semua sedang kaji secara ‘characteristic’, walaupun ada teori oleh pakar saintis tetapi kita perlu sedikit masa (kajian), sebelum kita boleh mengesahkannya.

“Memang kita lihat daripada segi statistik, lebih ramai lelaki yang terkena jangkitan berbanding wanita, tetapi mengapa jadi seperti itu, kita belum mengetahuinya lagi,” katanya ketika ditemui pemberita pada makan malam Sambutan Tahun Baharu Cina, anjuran Perusahaan Kecil dan Sederhana (SME) Perak di sini, Sabtu malam.

Dr Lee mengulas laporan sebuah akhbar negara jiran, yang melaporkan kajian para saintis mendapati kadar kematian akibat COVID-19 dalam kalangan lelaki adalah 2.8 peratus, berbanding wanita iaitu 1.7 peratus.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )