
Belum ada pelan ‘tinggalkan’ Zii Jia
KUALA LUMPUR,. Kudrat pemain perseorangan lelaki nombor satu negara, Lee Zii Jia tetap ditagih bagi mengetuai cabaran skuad negara menghadapi Piala Thomas 2020 di Aarhus, Denmark Oktober depan.
Ketua jurulatih perseorangan lelaki, Hendrawan berkata setakat ini belum ada perancangan mengetepikan pemain ranking ke-10 dunia itu biarpun ketika ini dia mengalami kecederaan belakang yang memerlukan empat minggu untuk pulih.
“Sementara ini, saya belum fikir lagi ke arah itu,” kata Hendrawan ketika ditanya sama ada dia mempunyai ‘Pelan B’ sekiranya Zii Jia tidak sempat pulih menyertai skuad negara ke Aarhus.
“Ini kerana, saya lihat kecederaan yang dialaminya tidak begitu serius tetapi memang perlu masa untuk pulih.
“Kita akan terus pantau perkembangannya sehinggalah tarikh tutup untuk menyenaraikan pemain. Memang perlu ada ‘Pelan B’ tetapi buat masa ini saya tidak mahu fikir negatif dahulu.”
Saingan Piala Thomas dijadual berlangsung dari 3 hingga 11 Oktober depan tetapi sama ada ia diteruskan atau sebaliknya masih menjadi tanda tanya susulan pandemik COVID-19 yang melanda ketika ini.
Malah belum ada sebarang pengumuman rasmi daripada Persekutuan Badminton Dunia (BWF) mengenai perkara itu.
Malaysia yang kali terakhir menjuarai Piala Thomas pada edisi 1992 di Kuala Lumpur diundi dalam Kumpulan A bersama musuh tradisi, Indonesia, England dan Belanda.
“Sama ada Piala Thomas diteruskan atau ditunda, kalau boleh saya mahu Zii Jia segera kembali berlatih di gelanggang. Sebab itu, saya bagi dia berehat sepenuhnya minggu ini untuk melakukan proses pemulihan.
“Bermula minggu depan, saya sudah meminta fisioterapi mengendalikan sesi latihan untuk kemahirannya di gelanggang di sebelah pagi. Selepas itu nanti, kita lihat perkembangannya,” kata Hendrawan.