Benjy meninggal dunia

Benjy meninggal dunia

KUALA LUMPUR,. Pelakon tahun 90-an Khaeryll Benjamin Ibrahim atau Benjy meninggal dunia di Rumah Sakit Royal Prima di Medan, Indonesia, hari ini.

Setiausaha Agung Persatuan Seniman Malaysia Hafiz Nafiah dalam kenyataan berkata Allahyarham Benjy yang merupakan anak kepada seniwati Allahyarhamah Azean Irdawaty menghembuskan nafas terakhir pada kira-kira pukul 11 pagi tadi.

Beliau berkata ketika ini pihaknya sedang berhubung rapat dengan Konsulat General Malaysia di Medan bagi mendapatkan butiran lanjut.

“Saya mohon semua bersabar dan mendoakan segala urusan Benjy dipermudahkan,” katanya dalam kenyataan ringkas di Instagram rasmi persatuan berkenaan.

Sementara itu, adik Allahyarham Benjy, Elza Irdalynna dalam satu hantaran di Twitter berkata mereka menerima panggilan daripada pihak penjara di Medan yang memberitahu Benjy didapati tidak bernafas akibat asma pada pukul 11 pagi waktu Malaysia.

Menurutnya pihak penjara telah cuba membawa Benjy ke rumah sakit (hospital) namun tidak sempat diselamatkan.

“Kami sekeluarga telah mengizinkan pihak penjara Medan mengebumikan jasad arwah di sana. Urusan pengebumian akan dijalankan esok.

“Benjy telah lama mengalami penyakit kronik asma serta penyakit yang lain, dan kerap keluar masuk hospital untuk beberapa tahun,” katanya.

Benjy, 43, sedang menjalani hukuman penjara selama 11 tahun atas kesalahan cubaan menyeludup dadah jenis syabu di Indonesia pada 2017.

Bergelar pelakon sejak zaman kanak-kanak, Allahyarham yang pernah memenangi anugerah pelakon lelaki terbaik Anugerah Skrin TV3 2002 terkenal dengan watak Jibek dalam drama Kerana Cintaku Saerah selain membintangi filem Baginda bersama arwah ibunya pada 1997.

— Bernama

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )