Beras MyGap keluaran Terengganu berada di pasaran Mei ini

Beras MyGap keluaran Terengganu berada di pasaran Mei ini

BESUT,. Beras Amalan Pertanian Baik Malaysia (MyGap) atau Beras MyGap yang julung kali dikeluarkan di Terengganu dijangka bakal berada di pasaran bermula Mei depan.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Dr Azman Ibrahim berkata, kerja menuai padi kini sedang dilakukan membabitkan kawasan seluas 182.2 hektar di bawah Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu Terengganu Utara (IADA Ketara).

“Ia membabitkan 196 ladang MyGAP yang melibatkan 170 peserta dan 33 Kumpulan Pengguna Air (KPA), manakala anggaran hasil yang bakal dikeluarkan sebanyak 911 tan metrik pada musim penuaian ini.

“Padi yang dituai terlebih dahulu dihantar ke Konsortium Kilang Padi di Baruh Masin di sini untuk diproses menjadi beras MyGAP sebelum dibungkus dan dipasarkan,” katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Penuaian Padi myGAP dan Penyampaian Insentif myGAP 2021 AIDA Ketara di Kampung Depu di sini semalam.

Hadir sama Pemangku Pengarah Pertanian Terengganu, Zulkifli Amin Yusof dan Pengarah IADA Ketara, Fatimah Hamid.

— Bernama

CATEGORIES
TAGS
Share This