Berenang sambil bawa jerami selamatkan haiwan peliharaan

Berenang sambil bawa jerami selamatkan haiwan peliharaan

KUALA LUMPUR,. Kasihnya sang tuan kepada haiwan peliharaan membuatkan seorang penternak sanggup meredah banjir dan berenang sejauh 800 meter membawa jerami untuk diberi makan kepada lembu dan kambingnya, selain memastikan haiwan itu selamat daripada dihanyutkan banjir.

Shafiq Muzaqir Shahrol Hair, 24, berkata hujan lebat pada Sabtu dan Ahad lepas menyebabkan air naik sampai ke paras bahu ditambah pula lokasi kandang ternakannya yang terletak agak ke dalam di Kampung Lombong, Kota Kemuning Shah Alam, menyukarkan misi untuk menyelamatkan kesemua haiwan itu.

“Sewaktu hujan lebat dan banjir masih boleh diharungi, saya dibantu 11 orang rakan sama-sama berenang untuk membawa keluar 10 daripada 80 lembu dari kandang.

“Namun apabila keadaan banjir bertambah buruk dan tiada ikhtiar lain dapat dilakukan memandangkan kenderaan pacuan empat roda dan lori sudah tidak dapat masuk untuk membawa haiwan-haiwan itu keluar, hanya dengan cara berenang sahaja saya dapat membawa makanan kepada lembu dan kambing yang masih terkandas,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Jumaat lepas beliau sempat memindahkan 200 kambing menggunakan kenderaan pacuan empat roda dan ditempatkan di kandang milik rakannya di Jalan Kebun, manakala 300 kambing lagi hanya sempat dialihkan ke bahagian atas kandang.

Shafiq Muzaqir berkata ini merupakan kejadian pertama bencana banjir buruk berlaku yang mengakibatkan 16 kambing dan tiga lembu peliharaannya mati, sejak beliau mengusahakan ternakan itu bersama keluarga 10 tahun lepas.

Beliau berkata pihaknya ada meminta bantuan bot namun keutamaan diberi untuk menyelamatkan mangsa yang terperangkap dalam banjir.

“Saya mengalami kerugian kira-kira RM70,000 termasuk makanan haiwan, peralatan seperti mesin pemotong tulang serta daging lembu dan kambing yang telah dipotong dan dimasukkan ke dalam peti yang turut rosak ditenggelami air.

Bukan sedikit kerugian yang dialami, setakat ini kami hanya menerima bantuan makanan, tetapi untuk perniagaan ternakan ini belum lagi. Saya harap pihak berkuasa seperti Jabatan Perkhidmatan Veterinar dapat menghulurkan bantuan kepada penternak yang terkesan,” katanya.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This