Beri tumpuan kepada kisah sejarah, pastikan industri filem berkembang

Beri tumpuan kepada kisah sejarah, pastikan industri filem berkembang

PUTRAJAYA,. Pemain industri filem negara ini perlu memberi tumpuan kepada kisah-kisah sejarah serta perjuangan masa lalu dan masa kini bagi memastikan industri itu berkembang dengan baik, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

Beliau berkata usaha itu dapat membantu meningkatkan nilai dan kepelbagaian dalam seni, pelakon serta aktiviti lain yang berkaitan.

Bagi merealisasi hasrat berkenaan, Wan Junaidi berkata Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) boleh mengenal pasti sejarah kritikal dan perjuangan pejuang masa lalu yang boleh diangkat sebagai bahan untuk dijadikan filem.

“Ia berupaya mencerminkan keadaan sebenar masyarakat dan warganegara Malaysia dari sudut sejarah, perjuangan, sama ada pada zaman pentadbiran sendiri, penjajah atau komunis,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan hari ini selepas mengadakan pertemuan dengan Ketua Pegawai Eksekutif Finas Prof Dr Md Nasir Ibrahim.

Finas yang ditubuhkan pada 12 Feb 1981, merupakan sebuah agensi di bawah Kementerian Komunikasi dan Multimedia yang berperanan sebagai agensi pembangunan industri perfileman negara.

Mencontohi filem Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan terbitan Studio Kembara Sdn Bhd yang meraih RM80 juta jualan tiket panggung, Wan Junaidi berkata filem seumpama itu berupaya mendatangkan keuntungan besar menerusi karya berteraskan sejarah dan perjuangan.

Beliau menyifatkan filem itu sebagai kejayaan yang mampu mengangkat industri perfileman tanah air ke tahap yang lebih tinggi.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )