Bersatu Sabah ucap tahniah kepada Muhyiddin, harap pembangunan Sabah diberi keutamaan

KOTA KINABALU,. Badan Pimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Sabah menyambut baik sekali gus mengucapkan tahniah kepada Presiden parti Tan Sri Muhyiddin Yassin atas pelantikannya sebagai Perdana Menteri yang baharu.

Ketuanya Datuk Hajiji Noor berkata Bersatu Sabah lega akhirnya kemelut politik negara yang telah berlarutan sejak seminggu lalu selesai dengan pelantikan berkenaan.

“(Kini adalah masa) untuk menumpukan kepada pembangunan negara dan perpaduan rakyat berbilang kaum,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini, hari ini.

Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini berkenan melantik Muhyiddin sebagai Perdana Menteri kelapan.

Hajiji berharap Muhyiddin akan dapat membawa lebih banyak pembangunan di negeri ini selain terus memberi perhatian terhadap hak Sabah seperti yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

”Itulah harapan kami agar beliau (Muhyiddin) memberi keutamaan kepada pembangunan negeri dan rakyat Sabah yang masih jauh ketinggalan. Kami tahu beliau seorang pemimpin berpengalaman dan tahu akan keperluan Sabah,” katanya.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )