Bertugas di Aidilfitri bukan satu beban bagi petugas barisan hadapan
]
KANGAR,. Ketika orang lain bersama keluarga di rumah menyambut 1 Syawal, ada insan yang terpaksa bertugas susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi mengekang penularan COVID-19.
Mereka adalah wira yang tidak pernah kenal erti penat dan lelah, terus memerah keringat sejak wabak pandemik mula mendarat di negara ini awal tahun lepas.
Seorang anggota polis Konstabel Ahmad Kamil Mohamad, 26, dari Balai Polis Kangar berkata tahun ini merupakan tahun ketiga beliau tidak dapat beraya bersama isteri dan keluarga di kampung.
“Bagi saya ia bukan satu beban tetapi satu amanah yang perlu dilaksana oleh seorang anggota polis…setiap kali bertugas ketika raya, isteri saya akan bekalkan juadah raya seperti ketupat dan rendang daging.
“Walaupun tidak dapat beraya bersama keluarga sekurang-kurangnya dapat makan masakan air tangan isteri sudah dapat memberi kegembiraan kepada saya,” katanya kepada Bernama di sini hari ini.
Turut berkongsi pengalaman yang sama, seorang jururawat di sebuah hospital kerajaan, Nur Zairah Mat Lazim, 30, yang bertugas pada hari raya buat kali kedua tahun ini.
“Pada awal dahulu saya rasa agak kekok, namun sekarang tidak rasa sedih sangat kerana dihiburkan oleh rakan-rakan sekerja,” katanya.
Ibu kepada seorang anak itu berkata walaupun terpaksa meninggalkan anak berusia empat tahun di rumah bersama adik, keadaan itu tidak mengganggu tumpuannya melakukan tugas di wad kecemasan.
Bagi anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) Sani Abu Bakar, 43, ini adalah pengalaman pertama beliau tidak dapat beraya bersama keluarga kerana bertugas di sekatan jalan raya (SJR) Sanglang.
“Oleh kerana ini adalah kali pertama dipilih bertugas, sudah pasti saya merasa sayu untuk tinggalkan empat orang anak dan isteri beraya sendirian di rumah, namun apa yang lebih penting bagi saya adalah tanggungjawab dan kepercayaan yang diberikan,” katanya.
— BERNAMA