Biden ulangi komitmen berterusan AS terhadap Indo-Pasifik pada Sidang Kemuncak Asia Timur

Biden ulangi komitmen berterusan AS terhadap Indo-Pasifik pada Sidang Kemuncak Asia Timur

SINGAPURA,. Presiden Joe Biden pada Rabu menegaskan semula komitmen berterusan Amerika Syarikat (AS) kepada Indo-Pasifik pada Sidang Kemuncak Asia Timur (EAS) ke-16.

Dalam ucapannya di EAS, Biden menyatakan visinya untuk rantau itu, yang mahu melihatnya menjadi sebuah rantau yang terbuka, terhubung, makmur, berdaya tahan dan selamat.

Biden menyertai mesyuarat pemimpin negara-negara anggota ASEAN dan perwakilan dari Australia, China, India, Jepun, New Zealand, Korea Selatan dan Rusia semasa Sidang Kemuncak EAS yang diadakan secara maya, membincangkan mengenai cabaran serantau dan antarabangsa, termasuk pandemik COVID-19 dan krisis iklim.

EAS diadakan di luar Sidang Kemuncak ASEAN ke-38 dan ke-39 dan Sidang Kemuncak Berkaitan selama tiga hari bermula Selasa dengan Brunei sebagai pengerusi.

“Biden turut mengumumkan AS bersama rakan kongsinya akan meneliti pembangunan kerangka kerja ekonomi Indo-Pasifik yang akan mentakrifkan objektif bersama berkaitan pemudahan perdagangan, standard untuk ekonomi dan teknologi digital, daya tahan rantaian bekalan, penyahkarbonan dan tenaga bersih, infrastruktur, standard pekerja, dan bidang-bidang lain yang mempunyai kepentingan bersama,” menurut kenyataan yang dikeluarkan hari ini.

Kenyataan itu menyebut presiden juga mengulangi komitmen AS terhadap orde berasaskan peraturan antarabangsa dan menyatakan kebimbangan berkaitan ancaman terhadap perintah itu.

“Beliau menjelaskan bahawa AS akan terus berdiri bersama sekutu dan rakan kongsi dalam menyokong demokrasi, hak asasi manusia, kedaulatan undang-undang dan kebebasan di lautan,” katanya.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This