Bigpay sertai ekosistem DuitNow
KUALA LUMPUR,. Bigpay, syarikat teknologi kewangan (fintech) AirAsia Group, akan melaksanakan ekosistem DuitNow kendalian Payments Network Malaysia Sdn Bhd (PayNet) bagi membolehkan pemindahan dan pembayaran wang segera domestik secara dalam talian.
Usaha itu susulan daripada kerjasama yang dijalinkan bersama pengendali ekosistem DuitNow tersebut, kata syarikat itu dalam kenyataan hari ini.
Menurut PayNet, langkah itu akan membolehkan pelanggan BigPay melakukan penghantaran wang segera menerusi DuitNow kepada nombor mudah alih, MyKad atau nombor perniagaan selain pembayaran menggunakan QR di premis yang mempunyai kemudahan DuitNow QR.
“Kad BigPay itu membolehkan penggunanya membayar pada tempat jualan, mengeluarkan wang daripada mesin pengeluaran automatik (ATM) di Malaysia dan di luar negara selain pilihan untuk membayar secara terus menggunakan aplikasi DuitNow QR,” katanya.
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) PayNet, Peter Schiesser berkata : “Hasil penyertaan BigPay dalam ekosistem DuitNow itu membolehkan pengguna dan peniaga di Malaysia meraih manfaat dari segi pengumpulan mata dan memperluas jangkauan pengguna kerana ekosistem itu akan terus berkembang.”
Sementara itu, CEO BigPay Christopher Davison berkata dari segi pembayaran dan pemindahan wang, syarikat itu sentiasa mengetengahkan aspek pilihan lebih banyak, kos lebih rendah dan saling boleh kendali.
“Inilah alasannya bagi kami memilih untuk menggabungkan aplikasi mudah alih dalam satu kad yang dapat digunakan untuk berjuta-juta syarikat perniagaan di serata dunia. Oleh itu, penyertaan dalam ekosistem DuitNow merupakan langkah seterusnya yang paling logik,” katanya.
BigPay juga menyasarkan untuk muncul secara ‘live’ di DuitNow lewat tahun ini selain menjadi pengendali awal sistem pembayaran baharu di bawah Fasa 2 DuitNow (DuitNow 2.0) – merangkumi ciri-ciri seperti permintaan untuk membuat pembayaran, debit masa nyata dan persetujuan debit.
— BERNAMA