BN Sabah positif kerjasama solidariti dengan GRS demi pembangunan negeri

BN Sabah positif kerjasama solidariti dengan GRS demi pembangunan negeri

KOTA KINABALU,. Barisan Nasional (BN) Sabah secara prinsip menerima pembentukan Jawatankuasa Kerjasama Solidariti bersama Gabungan Rakyat Sabah (GRS) demi memastikan kemakmuran negeri itu dan kepentingan rakyatnya.

Pengerusi BN Sabah Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata, parti itu positif dengan penubuhan jawatankuasa yang diumumkan oleh Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor baru-baru ini.

“Kita memang mengalu-alukan (penubuhan jawatankuasa kerjasama solidariti GRS-BN) sebab kita memikirkan kepentingan rakyat Sabah dan pembangunan Sabah, itu penting. Sabah sudah lama ketinggalan dari segi pembangunan, ekonomi dan sebagainya.

“Jadi, saya rasa sudah tiba masanya untuk kita memperkukuh kerajaan bagi memastikan rakyat Sabah juga berhak hidup dalam keadaan baik berbanding hari ini,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Jamuan Aidilfitri BN Sabah di sini hari ini.

Timbalan Ketua Menteri Sabah itu berkata demikian ketika mengulas pembentukan jawatankuasa kerjasama solidariti GRS-BN.

Pada 9 Mei, Hajiji yang juga Pengerusi GRS berkata jawatankuasa itu dibentuk bagi mengelakkan pertembungan antara kedua-dua parti pada Pilihan Raya Umum Ke-15.

Majlis Aidilfitri BN Sabah itu dihadiri Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaacob, Hajiji dan beberapa tokoh politik veteran termasuk bekas Ketua Menteri Sabah Tan Sri Musa Aman.

Hadir sama pemimpin parti tempatan antaranya Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) Sabah Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan, Presiden Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) Tan Sri Joseph Kurup, Presiden Parti Maju Sabah (SAPP) Datuk Yong Teck Lee, Presiden Parti Cinta Sabah (PCS) Datuk Seri Anifah Aman dan Presiden Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) Datuk Peter Anthony.

Lebih 3,000 tetamu turut memeriahkan majlis itu selepas dua tahun rumah terbuka sempena Aidilfitri peringkat negeri tidak diadakan berikutan pandemik COVID-19.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This