BNM pastikan sistem perbankan, saluran pembayaran dilengkapi keselamatan terkini untuk perangi penipuan kewangan

BNM pastikan sistem perbankan, saluran pembayaran dilengkapi keselamatan terkini untuk perangi penipuan kewangan

KUALA LUMPUR,. Bank Negara Malaysia (BNM) kekal komited dalam memastikan sistem perbankan dan saluran pembayaran dilengkapi dengan langkah-langkah keselamatan yang tinggi dalam usaha memerangi ancaman penipuan kewangan yang semakin meningkat.

Timbalan Gabenor Datuk Marzunisham Omar berkata memastikan saluran perbankan dan pembayaran yang selamat serta dilengkapi dengan kawalan keselamatan terkini dan keupayaan pengurusan risiko penipuan adalah keutamaan bagi BNM dan industri kewangan.

“Kami akan sentiasa berwaspada dari semasa ke semasa, mengemas kini dan meningkatkan keperluan kawal selia serta langkah-langkah keselamatan untuk mengambil kira risiko dan modus operandi baharu.

“BNM akan terus mengkaji taktik yang digunakan oleh penipu dan mengambil langkah sewajarnya termasuk melaksanakan langkah-langkah tambahan untuk menangani taktik baharu ini.

“Setiap daripada kita sebagai pengguna perbankan individu mempunyai peranan untuk dimainkan. Atas sebab inilah, institusi kewangan meningkatkan usaha untuk mendidik dan mewujudkan kesedaran dalam kalangan pelanggan mereka mengenai taktik penipuan terkini dan langkah-langkah yang boleh diambil untuk mengelakkan diri daripada menjadi mangsa penipuan,” katanya kepada Bernama dalam satu temu bual eksklusif menerusi e-mel baru-baru ini.

Menurut Marzunisham, penubuhan Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) sebagai pusat arahan untuk menyelaraskan tindak balas pantas bagi penipuan kewangan dalam talian akan mengukuhkan kerjasama antara bank pusat dan penyedia perkhidmatan.

NSRC merupakan usaha sama antara Pusat Pencegahan Jenayah Kewangan Nasional (NFCC), Polis Diraja Malaysia (PDRM), BNM, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) serta institusi kewangan dan industri telekomunikasi.

“Dengan menempatkan agensi dan organisasi yang berbeza ini di bawah satu naungan, kita boleh mengumpulkan sumber dengan lebih baik dan berkongsi maklumat untuk mengambil tindakan lebih pantas, terutamanya dalam mengesan dana yang dicuri dan kemudian membekukannya.

“Matlamatnya adalah untuk agensi penguatkuasaan undang-undang mengesan penjenayah di sebalik penipuan dan kemudian membawa mereka ke muka pengadilan.

“Adalah sangat penting bagi mangsa untuk segera menghubungi talian hotline khusus penipuan bank mereka atau talian hotline NSRC di 997 sebaik sahaja mereka mendapati bahawa mereka telah ditipu,” kata Marzunisham.

Dalam pada itu, beliau berkata BNM akan terus bekerjasama dengan industri kewangan untuk meningkatkan kesedaran orang ramai khususnya tentang cara pengguna kewangan boleh berurus niaga dalam talian dengan selamat dan terjamin.

“Daripada menggubal undang-undang atau mengawal tingkah laku pelanggan, keutamaan kami adalah untuk mendidik dan memaklumkan kepada orang ramai supaya mereka terus berwaspada dan sedar tentang penipuan sambil mengetahui cara melindungi diri mereka daripada ancaman sedemikian,” katanya.

Pada 30 Okt 2022, industri perbankan telah bersama-sama melancarkan Kempen Kesedaran Penipuan Kebangsaan sebagai kesinambungan usaha untuk mendidik pengguna mengenai penipuan kewangan sambil berkongsi tips untuk kekal selamat dalam talian.

Kempen dengan slogan ‘Ingat 3 Saat OK’ memfokuskan pada tiga langkah mudah Awas, Fikir dan Sekat (Block) dijangka dilancarkan pada bulan November dengan mesej yang lebih menonjol merangkumi pelbagai saluran.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This