Boikot media tanda protes rasisme
LONDON: Kelab-kelab dalam bola sepak Inggeris akan melakukan boikot media selama tiga hari pada hujung minggu ini sebagai sebahagian dari protes terhadap rasisme, menurut beberapa badan induk bola sepak kebangsaan pada Sabtu.
Boikot itu, merangkumi Persatuan Bola Sepak (FA) Inggeris, kelab-kelab dalam Liga Perdana Inggeris (EPL), Liga Bola Sepak Inggeris (EFL) dan Liga Super Wanita (WSL), akan bermula pada pukul 2 petang waktu tempatan pada Jumaat, 30 April dan berlarutan sehingga 10. 59 pm Isnin 3 Mei.
Badan induk pengadil dan jurulatih juga akan turut terlibat.
Satu kenyataan bersama dari badan induk yang menyertai boikot ini berkata mereka bersatu untuk boikot media “sebagai respons kepada penganiayaan diskriminasi berterusan diterima dalam talian oleh pemain dan ramai pihak yang terlibat dengan bola sepak”.
Ia menambah: “Semua ini dijadualkan berlaku di seluruh program penuh perlawanan dalam bola sepak profesional lelaki dan wanita dan akan melihat kelab-kelab dari EPL, EFL, WSL dan Kejohanan Wanita, akan ‘menutup’ akaun rasmi mereka di Facebook, Twitter dan Instagram.
“Secara bersama, sukan ini mengiktiraf nilai dan kepentingan media sosial kepada sukan ini. Perhubungan dan akses kepada penyokong yang menjadi nadi kepada bola sepak masih penting.
“Bagaimanapun, boikot ini menunjukkan bola sepak Inggeris bersatu untuk memberi penekanan bahawa syarikat-syarikat media sosial harus melakukan lebih banyak lagi untuk menghapuskan kebencian dalam talian, ketika menjelaskan kepentingan mendidik orang ramai dalam usaha berterusan melawan diskriminasi.”
Kapten pasukan Liverpool, Jordan Henderson baru-baru ini berkata beliau akan bersedia untuk mengikuti bekas penyerang legenda Arsenal dan Perancis, Thierry Henry, yang meninggalkan segala aktiviti dalam talian sebagai protes terhadap tindak laku rasis.
Kelab Swansea bertindak selepas pemainnya, Yan Dhanda, Ben Cabango dam Jamal Lowe menjadi sasaran sementara penyerang antarabangsa England, Marcus Rashford, Trent Alexander-Arnold dan Raheem Sterling juga menjadi mangsa rasis.
Ramai mempersoalkan sama ada dalam jangka panjang, bola sepak boleh benar-benar memutuskan perhubungan dengan faedah ekonomi dan tarikan penyokong dalam media sosial.
Dan ada juga yang mempertikaikan bahawa memastikan semua akaun palsu dalam media menggunakan identiti sebenar akan memberi kesan kepada penentang politik dan pembocor rahsia korporat berada dalam risiko selain ia menjadi lebih mudah untuk mengenal pasti akaun palsu yang melakukan penganiayaan rasis.
Tetapi penganjur berkata boikot terbaharu ini adalah kerana mereka merasakan mereka perlu menjelaskan pendirian mereka.
“Tindakan boikot dari bola sepak ini sudah tentu tidak akan dapat menghapuskan penganiayaan diskriminasi tetapi ia menunjukkan bahawa sukan ini bersedia untuk mengambil langkah sukarela dan proaktif dalam usaha untuk terus menentang isu ini,” kata kenyataan mereka.
Pada bulan Februari lalu, lapan anggota pakatan menulis kepada Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Facebook, Mark Zuckerberg dan CEO Twitter, Jack Dorsey dengan berkata platform media sosial mereka dan juga Instagram, milik Facebook, seharusnya melakukan lebih banyak lagi untuk menangani isu diskriminasi ini.
Kenyataan pada Sabtu berkata “ketika ada perkembangan berlaku, kami menegaskan apa yang kami lakukan hari ini adalah satu usaha berterusan untuk menangani status diskriminasi yang dimuatnaik dan memastikan bahawa ada kesan sebenar kepada mereka yang melakukan penganiayaan ini dalam semua platform media.”
“Ketika bola sepak membuat pendirian, kami menggesa kerajaan UK untuk memastikan undang-undang keselamatan dalam talian akan melakukan undang-undang lebih tegas kepada syarikat media sosial untuk lebih bertanggungjawab di atas apa yang berlaku di platform media mereka.”
Di Scotland, Rangers melakukan boikot selama seminggu berikutan perlawanan Liga Europa menentang Slavia Prague, di mana Glen Kamara menjadi mangsa diskriminasi.
Pemain pertahanan Slavia, Ondrej Kudela digantung 10 perlawanan oleh badan induk bola sepak Eropah (UEFA) selepas didapati bersalah melakukan tindakan rasis ke atas Kamara.
— Agensi