
Bomba siap siaga hadapi musim kemarau
ALOR SETAR,. Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) telah siap siaga dari segi aset dan anggotanya bagi menghadapi musim kemarau yang lazimnya berlaku antara bulan Mei hingga September.
Ketua Pengarah JPBM Datuk Seri Mohammad Hamdan Wahid berkata meskipun cuaca di Malaysia kini dalam keadaan tidak menentu namun pihaknya sentiasa bersedia menghadapi sebarang bentuk bencana yang mungkin terjadi.
“JBPM sentiasa memantau keadaan cuaca serta mendapatkan informasi daripada agensi berkaitan sebagai persediaan menghadapi musim kemarau selain telah mengenal pasti beberapa ‘hotspot’ di seluruh negara antaranya Selangor, Pahang, Johor, Perak, Pulau Pinang, Kedah, Sabah dan Sarawak.
“Kita kenal pasti ‘hotspot’ negeri dahulu sebelum fokus ke daerah-daerah yang lazim berlaku kebakaran. Aset-Aset untuk pemadaman kebakaran juga telah diletakkan di pangkalan dan barisan hadapan kawasan ‘hotspot’ bagi memudah dan mempercepat proses pemadaman,” katanya kepada pemberita pada Isnin.
Terdahulu, beliau menghadiri Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Tahun 2021 serta Penyampaian Sijil 30 Tahun Perkhidmatan JBPM Negeri Kedah dan Perlis yang turut dihadiri Pengarah JBPM Kedah Sayani Saidon serta Pengarah JBPM Perlis Ruhisha Haris di Ibu Pejabat JBPM Negeri Kedah.
Mohammad Hamdan juga berharap komuniti setempat dapat memainkan peranan dalam memastikan aktiviti pembakaran terbuka dihentikan selain membuat laporan kepada agensi berkaitan sekiranya ternampak ia dilakukan di mana-mana kawasan.
“Pihak pengurusan tempat pelupusan sampah juga diminta memantau kawasan terbabit bagi mengelakkan aktiviti pembakaran kerana bimbang ia akan menyebabkan berlaku jerebu dan asap yang tidak sihat serta menjadi punca kepada masalah kesihatan masyarakat,” katanya.
Beliau berkata JBPM juga akan menubuhkan pasukan khas kepala air selain Special Water Rescue Team (SWART) yang sedia ada.
“Sekarang kita ada satu pasukan SWART di Pantai Chenang, Langkawi… anggotanya adalah orang tempatan yang mana telah ditauliahkan oleh JBPM dan mereka turut diberikan elaun,” katanya.
— BERNAMA