Bonnie luar biasa, pecah rekod dunia di Dubai
KUALA LUMPUR,. Atlet para negara Bonnie Bunyau Gustin menampilkan prestasi luar biasa apabila memecahkan rekod dunia pada kejohanan Piala Dunia Powerlifting Fazza Dubai Ke-11 di Emiriah Arab Bersatu (UAE), semalam.
Kejayaan Bonnie melakukan angkatan bebanan seberat 230 kilogram (kg) dalam kategori lelaki atas 72 kg itu menyaksikan beliau merangkul pingat emas bagi acara berkenaan.
Atlet China, Peng Hu meraih perak dengan angkatan terbaik 214 kg manakala Nnamdi Innocent dari Nigeria memperoleh gangsa (213 kg).
Bonnie memadamkan rekod dipegang atlet Iran Roohallah Rostami yang melakukan angkatan seberat 229 kg di Sukan Para Asia Jakarta, Indonesia pada 2018.
Ia merupakan kejayaan kedua berturut-turut atlet kelahiran Kuching, Sarawak tahun ini, selepas beliau menghadiahkan pingat emas buat negara dalam acara sama pada Kejohanan Piala Dunia Powerlifting Para Dunia di Bangkok, Thailand bulan lepas.
Pada kejohanan di Bangkok, atlet berusia 22 tahun itu berjaya melakukan angkatan bebanan seberat 226 kg untuk meraih pingat emas manakala juara Sukan Paralimpik London 2012 Nader Moradi dari Iran merangkul perak (204 kg) diikuti Alexandr Daskov dari Kazakhstan di tempat ketiga (140 kg).
Seorang lagi atlet para negara, Jong Yee Khie dijadual beraksi bagi kategori lelaki atas 107 kg malam tadi.
Sementara itu, kejayaan manis diraih Bonnie turut menarik perhatian Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican yang menzahirkan ucapan tahniah menerusi hantaran di laman Twitternya.
“Amazing! (mengagumkan!) Emas dan rekod dunia yang baharu!
“Tahniah Bonnie Gustin atas pencapaian yang amat membanggakan ini. Inilah kuasa atlet kita. Kuasa atlet Malaysia!” katanya.
— Bernama