BookDoc jalin kerjasama dengan UPM

KUALA LUMPUR,. Platform penjagaan kesihatan dalam talian BookDoc dan Universiti Putra Malaysia (UPM) mengumumkan baru-baru ini kerjasama dalam penempatan latihan, penyelidikan dan kerjasama kesihatan dalam mempromosikan gaya hidup sihat.

BookDoc dalam kenyataan hari ini berkata kerjasama itu juga akan memberi tumpuan penggunaan acara BookDoc dan platform berita untuk menyebarkan aktiviti berkaitan kesihatan UPM kepada fakulti, pelajar dan masyarakat umum.

Kolaborasi itu juga akan melibatkan transformasi pendekatan terhadap kesihatan mental dan menangani masalah pengasingan sosial.

“Kerjasama itu sejajar dengan inisiatif Revolusi Industri 4.0 (IR 4.0) untuk membangunkan kemahiran penting bagi memastikan pertumbuhan dan daya saing Malaysia kekal mapan,” kata Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Datuk Chevy Beh.

Beh juga melahirkan harapan, kolaborasi dalam kesihatan telemental dapat membantu memenuhi keperluan rakyat Malaysia bagi perkhidmatan kesihatan yang sesuai, berpatutan dan mudah diakses.

Sementara itu, Naib Canselor UPM Prof Datin Paduka Dr Aini Ideris berkata perkongsian itu adalah situasi menang-menang bagi UPM dan BookDoc.

“Kerjasama ini memberi manfaat bagi penuntut UPM dalam latihan amali, perkongsian akademik-industri dan pembangunan infrastruktur digital selaras dengan IR4.0, Matlamat Pembangunan Mampan dan peluang penyelidikan.

“Kami mengucapkan terima kasih kepada BookDoc kerana memberikan kami peluang untuk menjalin kerjasama ini,” katanya.

Aplikasi BookDoc boleh dimuat turun secara percuma melalui Apple App Store dan Google Play Store dan menawarkan akses kepada platform tele-consult untuk kemudahan doktor bila-bila masa dan di mana sahaja.

Dengan kehadiran di Malaysia, Singapura, Hong Kong dan Thailand, BookDoc merupakan sebuah platform dalam talian yang beroperasi menerusi kesinambungan penjagaan kesihatan yang menghubungkan pesakit kepada profesional penjagaan kesihatan pada bila-bila masa dan di mana saja, sambil memberi insentif kepada semua untuk terus aktif.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )