Bot karam Laut Merabung: Mangsa terselamat ditahan untuk siasatan
LAHAD DATU,. Lelaki yang ditemui selamat di Laut Merabung, Tungku dekat sini pada Khamis selepas bot yang dinaiki karam, ditahan polis selama 14 hari untuk siasatan lanjut.
Ketua Polis Daerah Lahad Datu, ACP Nasri Mansor berkata lelaki berusia 29 tahun itu ditemui orang awam, yang kemudian melaporkan kepada bilik gerakan Pasukan Polis Marin (PPM) pada kira-kira pukul 3.05 petang.
Beliau berkata lelaki itu ditahan sejak semalam dibawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/1963, dan semasa ditahan lelaki itu mendedahkan terdapat lapan individu lain termasuk dua kanak-kanak yang menaiki bot bersamanya yang masih hilang.
“Lelaki itu menyatakan bergerak (menaiki bot) dari Pulau Sibutu ke Pulau Bongao, Filipina sebelum enjin bot mati. Siasatan masih diteruskan untuk mendapatkan cerita sebenar daripada mangsa selamat ini,” katanya dalam satu kenyataan di sini, pada Jumaat.
“Balai Polis Cenderawasih menerima maklumat orang awam pada pukul 9.00 pagi mengenai penemuan mayat seorang wanita terapung di laut, berikutan itu, dan PPM mengeluarkan mayat berkenaan pada pukul 10.10 pagi tadi,” katanya.
— BERNAMA