Bot karam, tiga pencadat sotong dikhuatiri lemas semalam
KOTA BHARU,. Tiga pencandat sotong dikhuatiri lemas selepas bot fiber yang dinaiki mereka karam akibat dipukul ribut kira-kira 10 batu nautika dari Jeti Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) di Kuala Besar, dekat sini, dalam kejadian pada 8.30 malam semalam.
Ketua Polis Kelantan Datuk Shafien Mamat berkata tiga lelaki terbabit dikenali sebagai Mat Awang@Jali, 54, Mat Harun Mat Nor, 55, dan Zulshahmi Danial Zulazman, 26.
Beliau berkata operasi mencari dan menyelamat membabitkan seramai 64 anggota pelbagai agensi termasuk nelayan kini sedang dijalankan.
“Kita difahamkan, mangsa memang setiap tahun keluar melakukan aktiviti mencandat sotong dan mereka berpengalaman di laut.
“Mengikut maklumat awal, ada saksi daripada bot lain yang turut mencandat cuba menghulurkan tali kepada mangsa tetapi tidak berjaya disebabkan ombak dan ribut yang kuat,” katanya kepada pemberita di Jeti LKIM di Kuala Besar, di sini hari ini.
Shafien berkata bot yang dinaiki mangsa dikatakan dilengkapi dengan jaket keselamatan cuma tidak diketahui sama ada mereka (mangsa) memakainya ketika kejadian.
Sementara itu, isteri kepada Mat Awang, Che Rohani Majid, 49, berkata suaminya keluar dari rumah di Nilam Puri pada 11 pagi semalam dan memberitahu akan ke laut untuk mencandat sotong pada sebelah petang.
“Sebelum hujan petang semalam dan berbuka saya cuba menghubunginya melalui WhatsApp tetapi tidak dibalas. Pada sebelah malam pula, saya cuba hubunginya lagi tetapi gagal. Sebelum ini jika keluar mencandat dia akan pulang ke rumah pada 2 pagi.
“Saya hanya mengetahui kejadian menimpa suami pada 7 pagi tadi. Sebelum itu, saya memang tidak sedap hati kerana keadaan cuaca buruk malam tadi,” katanya ketika ditemui pemberita.
Sementara itu, seorang saksi, Nik Amran Nik Hussin, 50, berkata tiga mangsa itu keluar ke laut lebih awal berbanding kumpulan lain iaitu sebelum Asar dari Jeti Kampung Keseng dekat Kuala Besar.
Nik Amran berkata bot dinaiki mangsa bertemu dengan empat lagi bot pencandat termasuk bot yang dinaikinya di sekitar lokasi mencandat semasa ribut kuat malam tadi.
“Saya sempat melihat bot dinaiki mangsa semakin tenggelam dan saya cuba membantu dengan melemparkan tali tetapi kerana jarak agak jauh, tambah pulak ribut dan ombak terlalu besar, usaha itu tidak berjaya,” katanya.
–Bernama