Bot nelayan Vietnam diberkas pasukan Maritim Malaysia

Bot nelayan Vietnam diberkas pasukan Maritim Malaysia

LABUAN,. Kedegilan dua bot nelayan Vietnam menjalankan aktiviti menangkap ikan di perairan negara ini membawa padah selepas berjaya diberkas pasukan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) di sini kelmarin.

Pengarah Zon Maritim Labuan Komander Maritim Nor Bakari Abu Bakar berkata, bot terbabit yang didaftarkan di atas nama syarikat One United ditahan kira-kira jam 2.30 petang.

Menurutnya, bot nelayan berkenaan didaftarkan sebagai bot kargo tetapi menjalankan aktiviti penangkapan ikan secara tunda gading.

Katanya, hasil aduan daripada komuniti maritim, kegiatan bot terbabit berjaya dikesan selepas disyaki melakukan kegiatan menangkap ikan secara bergandingan.

“Ketika bot nelayan terbabit leka melakukan aktiviti menangkap ikan, kru bot maritim bertindak mendekati bot berkenaan kira-kira 23.4 batu nautika barat laut dari Pulau Keraman dekat sini.

“Sebuah bot diperiksa manakala sebuah bot lagi berjaya melarikan diri,” katanya dalam kenyataan di sini.

Beliau berkata, hasil pemeriksaan mendapati lima kru termasuk tekong adalah warganegara Vietnam berumur dalam lingkungan 22 hingga 35 tahun.

Menurutnya, kesemua kru bot terbabit tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri yang sah dan pukat tunda ganding yang digunakan juga dipotong bagi menghapuskan bahan bukti pihak penguat kuasa.

Dalam pada itu, pihaknya turut memohon bantuan petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk menjalankan ujian calitan (swab test) COVID-19 bagi memastikan kesemua kru bot nelayan itu bebas jangkitan COVID-19.

Katanya, bot nelayan bersama lima kru berkenaan ditahan untuk siasatan mengikut Akta Perikanan 1985 dan Akta Imigresen 1959/63.

CATEGORIES
TAGS
Share This