BPR fasa kedua dibayar mulai Jumaat
KUALA LUMPUR,. Pembayaran fasa kedua Bantuan Prihatin Rakyat (BPR) akan dibuat secara berperingkat mulai Jumaat ini kepada 8.4 juta penerima melibatkan peruntukan berjumlah RM2.75 bilion, kata Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.
Beliau berkata bantuan itu akan memanfaatkan 3.6 juta isi rumah, satu juta warga emas (bujang atau tiada pasangan) dan 3.8 juta individu bujang.
Bayaran akan dikreditkan terus kepada akaun bank penerima antara 7 hingga 12 Mei, sementara bayaran bagi penerima yang tidak mempunyai akaun bank (termasuk di Sabah dan Sarawak) akan dibuat melalui cawangan Bank Simpanan Nasional (BSN) mulai 17 Mei.
Semakan status kelulusan BPR boleh dibuat mulai Jumaat ini melalui pautan https://bpr.hasil.gov.my.
“Peningkatan peruntukan adalah berikutan penambahbaikan kadar bayaran kepada penerima. Jika dahulunya penerima dari kategori isi rumah menerima RM300 dan penerima bujang menerima RM150, kini pembayaran kepada penerima adalah di antara RM150 hingga RM600, berdasarkan kelayakan setiap penerima,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Tengku Zafrul berkata mereka yang telah ditolak permohonannya berpeluang mengemukakan rayuan berserta dokumen yang berkaitan untuk disemak semula oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDNM) mulai 15 hingga 30 Jun.
BPR fasa satu berjumlah RM1.93 bilion telahpun dibayar kepada 8.4 juta penerima dari 24 Feb sehingga 1 April.
Setakat Mei 2021, jumlah keseluruhan bantuan langsung kerajaan merangkumi Bantuan Prihatin Nasional (BPN) 2.0 dan BPR fasa satu dan dua yang telah dan akan disalurkan bagi golongan B40 adalah bernilai RM6.59 bilion.
Menurutnya kerajaan sentiasa komited untuk memastikan bantuan yang diperuntukkan sampai kepada mereka yang disasarkan bagi menjamin kesejahteraan rakyat.
Jadual nilai pembayaran BPR fasa dua mengikut kategori kelayakan dan maklumat lanjut boleh dirujuk di portal rasmi BPR, https://bpr.hasil.gov.my.
— BERNAMA