Bubar Parlimen selepas COVID-19 reda, henti tohmah Agong perkenan darurat – PM

Bubar Parlimen selepas COVID-19 reda, henti tohmah Agong perkenan darurat – PM

KUALA LUMPUR,. Tan Sri Muhyiddin Yassin (gambar) mengulangi pendirian dan komitmen untuk membubarkan Parlimen sebaik sahaja penularan pandemik COVID-19 telah reda dan seterusnya mengadakan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Perdana Menteri turut mengingatkan semua pihak supaya berhenti melemparkan tohmahan yang tidak berasas terhadap keprihatinan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dalam memperkenankan Proklamasi Darurat ketika negara berusaha memutuskan penularan pandemik COVID-19.

Muhyiddin berkata sebagai ketua kerajaan, beliau sentiasa menghormati sistem dan proses perundangan negara yang berpaksikan sistem Raja Berperlembagaan dan Demokrasi Berparlimen.

“Saya menyeru rakan-rakan saya baik daripada pihak kerajaan mahupun pembangkang, marilah kita bersama-sama berganding bahu dan menggembeleng usaha untuk memerangi wabak COVID-19 tanpa mengira perbezaan fahaman politik,” katanya dalam perutusan khas secara langsung di beberapa stesen televisyen serta platform media sosial hari ini.

Muhyiddin yang juga Presiden Bersatu semasa Perhimpunan Agung Tahunan parti tersebut November tahun lepas dilaporkan berkata jika pandemik COVID-19 berakhir dalam satu tempoh masa yang belum dipastikan, kerajaan akan membubarkan Parlimen dan seterusnya memberi ruang kepada PRU15.

Jelasnya lagi, kerajaan telah mendapat perkenan Seri Paduka Baginda selepas Tuanku berpuas hati bahawa penularan wabak COVID-19 di negara ini berada di tahap kritikal dan perlunya pelaksanaan darurat selaras dengan keputusan jemaah menteri.

“Proklamasi Darurat yang dimasyhurkan oleh Tuanku adalah bertujuan untuk memberikan bidang kuasa tertentu kepada kerajaan untuk mengurus pandemik COVID-19 dengan lebih cepat, cekap dan berkesan.

“Tindakan-tindakan serta merta sedang diambil oleh kerajaan di bawah peruntukan-peruntukan Ordinan Darurat yang sedang berkuatkuasa.

“Proklamasi Darurat tidak mempunyai tujuan lain selain daripada membendung penularan COVID-19 dengan lebih berkesan dan melindungi nyawa rakyat,” katanya.

Muhyiddin berkata walaupun ada segelintir pihak yang cuba mencabar Proklamasi Darurat di mahkamah, beliau percaya Seri Paduka Baginda sebagai Ketua Negara amat memahami dan menghormati sistem dan proses perundangan negara.

Menurut perdana menteri, kerajaan telah mengumumkan pelanjutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sehingga 18 Feb ini bagi memantau perkembangan kes harian COVID-19 mengikut sektor dan lokaliti serta menilai semula keberkesanan PKP yang dilaksanakan.

“Apapun tindakan atau langkah seterusnya yang akan diambil oleh kerajaan pastinya berasaskan kepada matlamat untuk mengimbangi keperluan menjamin kelangsungan hidup rakyat dan melindungi nyawa anda semua,” tambahnya.

— Bernama

CATEGORIES
TAGS
Share This