Buda rancang bersara selepas dua kejohanan antarabangsa

Buda rancang bersara selepas dua kejohanan antarabangsa

KUCHING,. Atlet bina badan negara, Buda Anchah merancang untuk bersara selepas mengambil bahagian pada dua lagi kejohanan antarabangsa.

Beliau kini mempersiap diri bagi menghadapi persaingan Kejohanan Sukan Bina Badan dan Fizikal Asia 2023 di Karmandu, India pada Julai depan dan AGP Pro Korea 2023 di Seoul, Korea pada Oktober nanti.

Buda memaklumkan perkara itu kepada Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas ketika mengadakan kunjungan hormat di pejabatnya di sini hari ini.

Lawatan itu untuk beliau menyampaikan rasa terima kasih atas bantuan dan sokongan Uggah kepadanya selama ini.

Buda yang sudah lebih 30 tahun berkecimpung dalam bidang sukan bina badan kini menjadi tenaga pengajar sambilan di Majlis Sukan Negeri Sarawak (MSNS).

Beliau juga mengendalikan gimnasium sendiri di Dataran Uni, Kota Samarahan mendapat sokongan dan bantuan daripada Uggah.

Buda mempunyai kira-kira 100 ahli berdaftar terdiri pelajar dan orang awam.

Tahun lalu, Buda mengharumkan nama negara apabila memenangi pingat emas pada Kejohanan Sukan Bina Badan dan Fizikal Dunia Ke-13 (Kategori Terbuka Bina Badan Lelaki Master 50-60 tahun).

Beliau turut memenangi pingat gangsa bagi kategori Berpasangan Campuran pada kejohanan yang sama.

Buda, 51, mengambil bahagian dalam 29 pertandingan antarabangsa di mana beliau memenangi sebanyak 13 kali sebagai juara (tempat pertama).

Sementara itu, Uggah berkata dedikasi Buda terhadap sukan dan pencapaiannya amat wajar dicontohi generasi baharu.

“Beliau adalah contoh hidup yang boleh dicapai jika seseorang itu bersedia untuk berdedikasi, berkorban dan komited terhadap disiplin dalam sukan,” katanya.

CATEGORIES
TAGS
Share This