Bukan Kami Di Sebalik Rancangan ‘Rampas Kuasa’, Kata UMNO Sabah

Bukan Kami Di Sebalik Rancangan ‘Rampas Kuasa’, Kata UMNO Sabah

KOTA KINABALU,. Pengerusi Umno Sabah Bung Moktar Radin menolak spekulasi yang mengaitkan parti itu dengan khabar angin mengenai “rampasan kuasa” terhadap kerajaan negeri pimpinan Warisan awal minggu ini.

“Saya tegas dalam hal ini. Umno Sabah bukan dalang di sebaliknya,” kata ahli Parlimen Kinabatangan itu kepada pemberita selepas majlis temu mesra dengan presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi di sini, hari ini.

“Saya tidak tahu lanjut tentang perkara ini, tetapi bukan kami di belakangnya. Kami mahu memperkuatkan parti untuk menghadapi pilihan raya. Ia jalan terbaik untuk Umno Sabah.”

Wujud spekulasi sejak Isnin bahawa terdapat rancangan untuk menjatuhkan kerajaan negeri berusia 27 bulan yang diketuai Ketua Menteri Shafie Apdal oleh blok pembangkang yang terdiri daripada Umno, PPBM, STAR dan PBS.

Rancangan itu bagaimanapun dikatakan terbantut kerana pembangkang gagal memperoleh sokongan mencukupi daripada Adun.

Dalam pada itu, Bung dan Zahid berada di bandar raya ini untuk menghimpunkan ahli dan menjelaskan haluan parti itu berhubung persiapan menghadapi pilihan raya umum akan datang.

Umno mahu Labuan dijadikan daerah di Sabah

Pada masa sama Bung berkata, mereka juga membincangkan “tawaran baru” untuk rakyat Sabah, yang bakal dimasukkan ke dalam manifesto parti itu pada masa depan.

Katanya, tawaran baru itu akan membolehkan kerajaan negeri bertanggungjawab sepenuhnya ke atas semua pembangunan di Sabah, bukannya kerajaan pusat.

“Misalnya kami akan meminta peruntukan sebanyak RM5 bilion atau RM10 bilion. Kerajaan pusat perlu berikan dana itu secara tunai dan kami akan masukkan ke dalam perbendaharaan negeri.

“Kedua, semua agensi persekutuan di Sabah mesti diketuai oleh rakyat negeri ini.

“Ketiga, kami mahu Labuan dijadikan salah satu daerah di Sabah,” katanya.

“Kita akan bincangkan aspek lain dengan lebih lanjut, tetapi tawaran baru ini memberikan harapan baru kepada rakyat Sabah dan akan menjadi sebahagian daripada strategi pilihan raya kami.”

Ketika ditanya sama ada beliau menjangka pilihan raya mengejut diadakan dalam masa terdekat, beliau berkata, ia boleh dibuat pada bila-bila masa kerana negara perlu stabil susulan ketidaktentuan ekonomi yang berlaku kini dijangka berpanjangan ke tahun depan.

“Pilihan raya hanya dijadualkan 3 tahun lagi, yang tidaklah terlalu jauh. Terdapat beberapa faktor yang menyebabkan kami rasa pilihan raya perlu diadakan lebih awal.

“Prospek ekonomi dunia untuk 2021 tidak terlalu baik. Ditambah dengan penamatan tempoh moratorium pada September ini, mungkin akan timbul masalah dalam ekonomi kita. Jadi pilihan raya boleh diadakan pada bila-bila masa.”- FMT

CATEGORIES
TAGS
Share This