Bukan saya seksis – Muhammad Sanusi

Bukan saya seksis – Muhammad Sanusi

JITRA,. Menteri Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor mempertahan kenyataan dibuatnya yang didakwa mempertikai keupayaan calon wanita untuk menjadi Ahli Parlimen Sik, baru-baru ini.

Pengarah Pilihan Raya Pas Pusat itu berkata kenyataannya itu dibuat dalam konteks geografi dan geopolitik di Parlimen itu yang memerlukan seorang Ahli Parlimen lelaki untuk mewakilinya.

“Ceramah saya itu dalam dialek kampung saya, ceramah itu dalam konteks Sik dengan geografi, sosioekonomi, sosiobudaya, geopolitik, bentuk muka bumi, sikap penduduk, kawasan luar bandar, kawasan hutan dan mempunyai jarak jauh.

“Kesesuaian calon yang hendak diundi di Sik itu ialah calon lelaki. Itu satu hakikat, bukan saya seksis,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menyampaikan ceramah di program Ceramah Umum Pilihan Raya ke-15 Perikatan Nasional di Padang Sera dekat sini malam tadi.

Ditanya mengenai desakan pihak tertentu agar beliau meminta maaf berhubung kenyataan itu, Muhammad Sanusi berkata pihak tersebut perlu memahami dialek Sik.

Bagaimanapun, beliau mengakui dalam sesetengah keadaan, wanita lebih ke hadapan berbanding lelaki dengan mengambil contoh bilangan wanita yang melanjutkan pengajian tinggi berbanding lelaki.

Muhammad Sanusi dalam siri ceramahnya sebelum ini dilapor mempertikai keupayaan wanita untuk menjadi Ahli Parlimen di Sik yang kemudiannya mendapat reaksi pelbagai pihak yang mengecam kenyataan itu.

Parlimen Sik menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara calon Perikatan Nasional (PN) Ahmad Tarmizi Sulaiman, calon Pakatan Harapan (PH) Datuk Latipah Md Yatim dan Maizatulakmam Othman @ Ibrahim daripada Barisan Nasional (BN).

Sementara itu, Pengerusi PN Kedah itu turut memohon maaf berhubung kenyataan Ketua Pemuda Pas Sik Mohd Shahiful Mhd Nasir yang dilapor menyatakan mengundi BN dan PH pada PRU15 akan masuk ke neraka.

“Pemuda Pas itu pun dah minta maaf, dia terlanjur dia kata dia dah minta maaf. Saya pun tengok video itu. Saya rasa banyak orang yang melakukan kesilapan sepanjang hidup kita ini dan Alhamdulillah masyarakat Malaysia adalah masyarakat yang pemaaf,” katanya.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This