Bukan sekadar hiburan, TikTok kini jadi medan dahwah

Bukan sekadar hiburan, TikTok kini jadi medan dahwah

KUALA LUMPUR,. Apabila disebut sahaja tentang TikTok, pastinya ia bukan satu aplikasi asing khususnya bagi golongan muda yang lazim menjadikan medium ini untuk menunjukkan bakat seperti tarian dan aksi lucu dengan berlatar belakangkan pelbagai genre muzik.

Namun kini, aplikasi itu dilihat bukan untuk hiburan semata-mata apabila ramai dalam kalangan pendakwah turut mempunyai akaun TikTok dan menghasilkan video pendek untuk menyampaikan ilmu agama dan dakwah dalam bentuk yang lebih menarik sehingga mendapat tontonan yang tinggi serta memasuki FYP (For Your Page).

Bagi pendakwah dan penceramah bebas Ustaz Ahmad Dusuki Abdul Rani, 45, yang mempunyai lebih 743,000 pengikut menerusi aplikasi itu, platform berkenaan mampu merapatkan jurang masyarakat dengan golongan pendakwah khususnya generasi muda.

“Saya dapati ramai terutamanya remaja menggunakan aplikasi TikTok, jadi saya ambil pendekatan di mana orang ramai berada, maka di situlah dakwah Islam perlu dilakukan mesti ada agar mereka tidak terus leka.

“Apabila ada ‘peringatan’ dan info-info tentang agama Islam, masyarakat tidak akan terus terbuai dengan arus dunia sebaliknya hidup dalam keadaan lebih berfokus dan bermanfaat,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Dalam keterbatasan peluang berkomunikasi secara bersemuka dan mengadakan majlis-majlis agama disebabkan pandemik COVID-19 ketika ini, Ahmad Dusuki berkata pendakwah sepertinya perlu bijak menggunakan medium dan teknologi yang ada untuk menyampaikan ilmu.

Ternyata usaha yang dilakukannya itu tidak sia-sia apabila video TikTok yang dihasilkannya, menerima tontonan tinggi selain sering disusuli soalan berkaitan kemusykilan agama daripada warganet.

Seorang lagi pendakwah bebas Ustaz Ahmad Adnin Roslan, 29, juga senada dengan Ahmad Dasuki apabila video yang dimuat naik menerusi aplikasi itu menerima maklum balas positif daripada pemilik akaun TikTok dan turut dikongsi di media sosial lain seperti Whatsapp dan Facebook.

Beliau yang mempunyai 1 juta pengikut di akaun TikToknya @adninroslan berdakwah melalui pendekatan santai dan berhemah dalam menyampaikan sesuatu isu dan hukum agama agar lebih mudah difahami.

“Sesetengah orang khasnya orang muda tidak suka apabila kita bersyarah dengan panjang lebar. Mereka hanya mahu tahu sama ada boleh atau tidak, jadi saya kemukakan jawapan terhadap semua soalan secara ringkas tetapi padat.

“Bagi memenuhi permintaan, saya juga akan menyampaikan dakwah menerusi kaedah nyanyian yang telah ditukar liriknya,” katanya yang juga pengasas syarikat produksi dan rakaman, penerbitan buku serta konsultansi Tarbiah Sentap.

Sementara itu, Imam Muda Asyraf atau nama sebenarnya Muhammad Asyraf Mohd Ridzuan yang mempunyai lebih 64,000 pengikut di TikTok berkata dakwah perlu selari dengan perkembangan teknologi semasa dan disampaikan secara hikmah.

“Ulama mengatakan penggunaan teknologi dalam berdakwah tidak menjadi kesalahan namun, yang menjadi salahnya apabila menggunakannya dengan cara yang salah. Kini media sosial seperti TikTok dan Instagram, juga boleh dimanfaatkan dengan dengan ilmu yang berfaedah kepada masyarakat,” katanya.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This