bukan usaha boikot produk bukan Muslim – YPNM

bukan usaha boikot produk bukan Muslim – YPNM

KUALA LUMPUR,. Gerakan utamakan produk Muslim atau ‘buy Muslim first’ (#BMF) bukanlah usaha memboikot produk kaum lain tetapi lebih kepada mengutamakan produk keluaran Muslim yang halal, bersih dan berkualiti.

Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Patriot Negara Malaysia (YPNM), Mohd Al Iman Zakaria menjelaskan ia juga menolak usaha memboikot produk bukan Muslim, tetapi pada masa sama menyokong kempen mengutamakan beli produk Muslim.

“Kita percaya persaingan sihat dalam sektor perniagaan akan memacu ekonomi negara ke arah yang lebih sihat dan maju.

“Ia selari sokongan terhadap gerakan utamakan produk Muslim atau #BMF yang sedang dijalankan kini.

“Kami berpendapat, adalah lebih baik sekiranya kempen membeli produk dan barangan keluaran orang Islam disokong semua pihak dari terpalit dengan isu boikot ini,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, pada Selasa.

Jelas Mohd Al Iman, kempen itu juga bukan bersifat rasis sebaliknya usaha membantu ekonomi orang Islam yang kelak memanfaatkan semua pihak termasuk bukan Islam.

Tegasnya, ia sekali gus misi ke arah mengembangkan ekonomi Malaysia yang majoriti penduduknya beragama Islam untuk menembusi pasaran halal di seluruh dunia.

Tambahnya, rakyat Malaysia berbilang bangsa, agama dan kaum baru sahaja menyambut Hari Kemerdekaan yang ke-62 dan bakal menyambut Hari Malaysia pada 16 September ini.

“Keharmonian dan perpaduan masyarakat majmuk negara ini sentiasa diuji termasuk isu pemulauan atau boikot barangan buatan bukan Islam yang dilapor baru-baru ini.

“Lebih banyak peluang perniagaan dan ekonomi dapat direbut serta dimanfaatkan apabila produk dan barangan keluaran tempatan mendapat tempat di persada Asia dan antarabangsa.

“Secara tidak langsung, kejayaan itu nanti akan dapat mengurangkan jarak perbezaan jurang ekonomi antara rakyat Malaysia selain menyumbang kepada keharmonian ekonomi bersama-sama,” ujarnya.

Sebelum ini, Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan, kempen memboikot barangan bukan Islam merupakan satu langkah yang tidak sihat dan boleh menimbulkan pertengkaran serta isu antara kaum.

Jelasnya adalah penting untuk umat Islam mengeluarkan produk yang memudahkan umat Islam sekali gus diterima oleh semua kaum.

CATEGORIES
TAGS
Share This