Buku panduan tatacara Dewan Rakyat dilancar

KUALA LUMPUR,. Sedar dengan keperluan mempunyai satu rujukan khas berkenaan tatacara Dewan Rakyat, Parlimen Malaysia dengan kerjasama National Democratic Institut (NDI) menerbitkan sebuah buku bertajuk Malaysian Parliamentary Procedure.

Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Mohamad Ariff Md Yusof memaklumkan buku manual itu diterbitkan dengan objektif menjadi sumber rujukan utama kepada anggota Parlimen, khususnya anggota baharu dalam memahami tatacara dan peraturan di Dewan Rakyat.
“Tujuan manual ini adalah untuk membekalkan ahli-ahli Parlimen dengan garis panduan yang berinformasi dan arahan jelas mengenai selok-belok Dewan Rakyat.

“Kami juga merasakan ia akan memberi manfaat kepada mana-mana Ahli Parlimen yang baru menyertai parlimen.
“Ia ditulis dalam gaya tematik, sangat mudah difahami malah boleh juga dijadikan bahan bacaan sebelum tidur,” kata beliau ketika berucap dalam majlis pelancaran di ibu negara, pada Isnin.

Antara isi kandungan buku ini ialah pemahaman kepada Parlimen dan demokrasi berpelembagaan, usul, petisyen dan peraturan perbahasan.

Parlimen dan NDI juga bakal bekerjasama dalam satu lagi projek buku bertajuk ‘Law, Principles and Practice in Dewan Rakyat’, yang dijangka diterbitkan Julai depan.

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )