Bursa akhiri kenaikan tiga hari berturut-turut
KUALA LUMPUR,. Bursa Malaysia mengakhiri kenaikan tiga hari berturut-turut dengan dibuka rendah pada Jumaat, berikutan aktiviti pengambilan untung dalam persekitaran sentimen bercampur-campur.
Pada 9.05 pagi, petunjuk pasaran FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 12.92 mata, atau 0.81 peratus kepada 1,580.98 daripada 1,593.90 semasa ditutup pada Khamis.
Indeks dibuka rendah 8.73 mata kepada 1,585.17.
Suasana pasaran positif dengan kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 227 berbanding 211, manakala 227 kaunter tidak berubah, 1,523 tidak diniagakan dan 73 yang lain digantung.
Jumlah dagangan sebanyak 411.40 juta unit bernilai RM160.35 juta.
Walaupun dibuka rendah, Malacca Securities Sdn Bhd yakin sentimen pasaran boleh menjadi positif berikutan tema pemulihan semakin mendapat perhatian susulan pengumuman mengenai pendapatan yang meningkat oleh syarikat terpilih dalam musim pelaporan ini.
“Selain itu, program vaksinasi COVID-19 yang sedang dijalankan akan menyokong pemulihan ekonomi pada masa depan, dan pelabur perlu beralih daripada penerima manfaat pandemik kepada membuka semula aktiviti ekonomi,” katanya dalam nota.
Dari segi teknikal, firma broker itu berkata jika FBM KLCI diniagakan melebihi 1,590, ia akan pulih kepada paras halangan akan datang pada 1,600, manakala paras sokongan dijangka pada 1,555-1,565.
Sementara itu, Rakuten Trade Sdn Bhd berkata FBM KLCI sekali lagi mencatatkan belian pada saat akhir sejak dua hari lepas.
“Indeks dijangka berada dalam julat 1,590-1,600 hari ini,” katanya dalam nota berasingan.
Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maxis merosot 12 sen kepada RM4.67, Public Bank susut lima sen kepada RM4.22, Axiata berkurangan enam sen kepada RM3.62, Petronas Dagangan turun 70 sen kepada RM18.78 dan Hong Leong Financial susut 44 sen kepada RM17.80.
Petronas Dagangan dan Hong Leong Financial antara kaunter paling rugi secara menyeluruh.
Kaunter rugi lain termasuklah MPI yang susut 50 sen kepada RM37.30, Mega First berkurangan 33 sen kepada RM7.27 dan KESM merosot 30 sen kepada RM11.68.
Daripada saham aktif, Kanger International dan waran Sanichi, masing-masing naik 1.5 sen kepada 11.5 sen dan dua sen, Dagang NeXchange menambah satu sen kepada 81 sen, manakala warannya susut setengah sen kepada 28.5 sen dan Tanco tidak berubah pada 15 sen.
Di papan indeks, Indeks FBM Emas merosot 61.27 mata kepada 11,537.26 dan Indeks FBMT 100 susut 71.71 mata kepada 11,218.03.
Indeks FBM Emas Shariah berkurangan 38.24 mata kepada 12,853.59, FBM 70 merosot 17.77 mata kepada 14,935.13 manakala FBM ACE naik 6.86 mata kepada 7,944.33.
Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan susut 189.44 mata kepada 14,943.06, Indeks Perladangan berkurangan 47.34 mata kepada 6,917.29 serta Indeks Produk Perindustrian dan Perkhidmatan merosot 0.37 mata kepada 194.02.
– Bernama