Bursa dibuka rendah pada awal dagangan

Bursa dibuka rendah pada awal dagangan

KUALA LUMPUR,. Bursa Malaysia dibuka rendah pada sesi awal Jumaat susulan aktiviti pengambilan untung dalam saham-saham wajaran tinggi terpilih selepas pasaran mencatat kenaikan baru-baru ini, kata peniaga.

Pada 9.25 pagi ini, indeks petunjuk utama FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 10.80 mata kepada 1,558.71 daripada 1,569.51 pada akhir urus niaga semalam.

Indeks penanda aras itu dibuka susut 4.28 mata kepada 1,565.23.

Di pasaran meluas, kaunter rugi mengatasi untung iaitu 481 berbanding 93 manakala 241 kaunter lain tidak berubah, 1,436 tidak diniagakan dan 28 yang lain digantung dagangannya.

Jumlah dagangan sebanyak 595.94 juta unit bernilai RM312.22 juta.

Sementara itu, Malacca Securities Sdn Bhd dalam nota tinjauannya hari ini menjangkakan sentimen pasaran tempatan kekal berhati-hati susulan kenaikan Wall Street yang kian reda.

“Pelabur masih dalam proses menerima serta tidak pasti mengenai kenaikan sebenar kadar faedah yang akan dilaksanakan di Amerika Syarikat (AS).

“Bagi komoditi pula, kedua-dua harga minyak sawit mentah dan minyak mentah mencatat penurunan sederhana namun kekal kukuh pada kitaran aliran menaik berikutan jangkaan permintaan yang ketara dalam persekitaran pemulihan ekonomi.

“Susulan penyusutan semalaman Wall Street, kami menjangkakan stok teknologi akan meningkatkan langkah konsolidasi dan kami memilih saham tenaga dan perbankan dalam masa terdekat ini. Sektor pengguna pula dijangka mendapat permintaan ketara dalam fasa pemulihan ekonomi,” katanya.

Saham wajaran tinggi menyaksikan Maybank dan CIMB masing-masing susut 5.0 sen kepada RM8.45 dan RM5.54, Public Bank dan IHH Healthcare rugi 3.0 sen kepada RM4.21 dan RM6.62 manakala Petronas Chemicals merosot 10 sen kepada RM9.05.

Bagi saham aktif, AirAsia Group berkurangan 17.5 sen kepada 57 sen, SMTrack turun 1.5 sen kepada 27.5 sen, NWP Holdings susut 1.0 sen kepada 19 sen manakala Xidelang tidak berubah pada 4.0 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas merosot 102.97 kepada 11,212.75, Indeks FBM Emas Syariah berkurangan 128.07 mata kepada 11,946.42, FBM 70 turun 219.08 mata kepada 13,917.19, Indeks FBMT 100 susut 97.41 mata kepada 10,915.42 dan FBM ACE kehilangan 129.50 mata kepada 6,359.13.

Mengikut sektor, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian berkurangan 2.30 mata kepada 203.80, Indeks Perkhidmatan Kewangan turun 79.73 mata kepada 16,143.10 manakala Indeks Perladangan susut 23.22 mata kepada 6,750.76.

– Bernama

CATEGORIES
TAGS
Share This