Bursa dibuka rendah pada awal hari ini

Bursa dibuka rendah pada awal hari ini

KUALA LUMPUR,. Bursa Malaysia dibuka rendah tetapi kembali pulih selepas disokong oleh belian berterusan di kaunter wajaran tinggi terpilih, kata para peniaga.

Pada 9.15 pagi, indeks penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 3.54 mata kepada 1,503.86 daripada 1,500.32 pada petang Rabu.

Indeks utama dibuka lemah 0.51 mata kepada 1,499.81.

Di pasaran yang lebih luas, kaunter untung mengatasi rugi dengan 189 berbalas 117 manakala 198 kaunter tidak berubah, 1,798 tidak diniagakan dan 16 yang lain digantung.

Jumlah dagangan 158.55 juta unit bernilai RM87.89 juta.

Menurut Malacca Securities Sdn Bhd dalam nota penyelidikan hari ini, minat belian dalam ekuiti tempatan secara umumnya dijangka meningkat lagi dengan aktiviti memperelok akaun dilihat pada beberapa saham dan keadaan ini mungkin boleh bertahan sehingga akhir tahun.

“Keadaan pasaran keseluruhan semakin bertambah baik dan FBMKLCI berjaya mencecah melebihi paras 1,500, dipacu oleh saham wajaran tinggi sarung tangan.

“Sementara itu, Wall Street memperoleh momentum semalaman, melantun semula untuk hari kedua berturut-turut di tengah-tengah kebimbangan yang semakin pudar terhadap varian Omicron COVID-19, memandangkan kadar kemasukan ke hospital dan simptom adalah lebih ringan berbanding dengan varian Delta,” katanya.

Menurut firma penyelidikan itu, pelabur mungkin memilih saham bertema pemulihan, serta kewangan selepas kebimbangan terhadap Omicron semakin pudar selain dipacu oleh aktiviti memperelok akaun akhir tahun. Pada masa yang sama, mungkin juga terdapat minat dagangan terhadap sektor minyak dan gas memandangkan harga minyak mentah telah kembali kukuh.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank susut 2.0 sen kepada RM8.20, CIMB turun 1.0 sen kepada RM5.37, Public Bank tidak berubah pada RM4.10, manakala Petronas Chemicals meningkat 3.0 sen kepada RM8.80 dan IHH Healthcare menokok 4.0 sen kepada RM6. 59.

Bagi saham aktif, Bintai Kinded naik setengah sen kepada 23 sen, manakala Kejuruteraan Asastera dan Dataprep tidak berubah, masing-masing pada 25.5 sen dan 85.5 sen, manakala Visdynamics susut 28 sen kepada RM1.07.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas mencatatkan peningkatan 26.65 mata pada 10,911.60 dan Indeks FBMT 100 naik 26.22 mata kepada 10,620.19 manakala Indeks FBM Emas Syariah mengukuh 43.98 mata kepada 11,702.36.

Indeks FBM 70 lebih tinggi sebanyak 39.60 mata kepada 13,928.89 sementara FBM ACE susut 18.07 mata kepada 6,200.09.

Mengikut sektor, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian memperoleh 0.28 mata kepada 194.69, Indeks Perkhidmatan Kewangan susut 14.39 mata kepada 15,352.10 dan Indeks Perladangan meningkat 17.99 mata kepada 6,403.34.

– Bernama

CATEGORIES
Share This