Bursa dibuka rendah pada pagi

KUALA LUMPUR,. Bursa Malaysia mencatat prestasi berbeza berbanding semalam apabila dibuka rendah, menjejaki penyusutan semalaman Wall Street selepas indeks Purata Perindustrian Dow Jones merekodkan angka suku terburuknya sejak 1987.

Pada 9.05 pagi, indeks utama FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) menguncup 12.99 mata atau 0.96 peratus kepada 1,337.90 daripada 1,350.89 sewaktu ditutup pada Selasa.

Indeks penanda aras itu dibuka 5.99 mata lebih rendah pada 1,344.90.

Sentimen pasaran secara amnya adalah negatif dengan kaunter rugi mengatasi untung iaitu 246 berbanding 64 manakala 166 kaunter tidak berubah, 1,445 tidak diniagakan dan 19 lain digantung.

Jumlah dagangan sebanyak 117.52 juta bernilai RM55.40 juta.

Menurut Public Investment Bank Bhd, sewaktu dagangan ditutup pada Isnin, indeks Purata Perindustrian Dow Jones jatuh sekitar 410 mata atau 1.8 peratus kepada hampir 21,917.

“”Indeks saham mewah turun 23.2 peratus dalam tempoh tiga bulan pertama tahun ini iaitu merupakan prestasi suku pertama terburuknya dan penurunan suku tahunan keseluruhan terbesar sejak suku keempat 1987,” katanya menerusi nota penyelidikannya, hari ini.

Sementara itu Malacca Securities Sdn Bhd berkata ketidakpastian terus menjadi alasan penyusutan semalaman Wall Street.

“Kami turut menyaksikan aktiviti pengambilan untung apabila pelabur melepaskan pegangan mereka bagi menunggu keadaan kembali stabil,” katanya.

Ia menyifatkan langkah sedemikian sebagai positif kerana usaha konsolidasi itu akan membenarkan ruang untuk peningkatan selanjutnya.

Firma pembrokeran itu berkata, setakat ini ia menyaksikan paras 1,360 sebagai rintangan utama dan disusuli dengan paras psikologi 1,400.

“Namun dari segi negatif, sokongan kekal di tahap psikologi pada 1,300,” katanya.

Dalam pada itu, saham wajaran tinggi yang susut didahului oleh Petronas Chemicals turun 19 sen kepada RM4.86, Tenaga rugi 12 sen kepada RM11.90, Sime Darby Plantation menguncup sembilan sen pada RM4.85, MISC rendah 13 sen kepada RM7. 31 dan Press Metal Aluminum berkurangan 12 sen kepada RM3.29.

Saham aktif menyaksikan Minetech Resources naik satu sen kepada 13.5 sen, Public Packages menambah tujuh sen kepada 71 sen, KNM berkurangan setengah sen kepada 11 sen manakala Sapura Energy dan Velesto tidak berubah masing-masing pada lapan sen dan 11.5 sen.

Saham rugi termasuk Dutch Lady yang susut 50 sen kepada RM42.80, Carlsberg turun 32 sen kepada RM24.68, KESM rendah 24 sen pada RM6.21, Kuala Lumpur Kepong susut 22 sen kepada RM20.54 dan PPB turun 16 sen kepada RM16.26.

Di papan indeks menyaksikan Indeks FBM Emas jatuh 57.97 mata kepada 9,181.83, Indeks FBM Emas Shariah turun 74.57 mata kepada 10,030.51 manakala Indeks FBMT 100 susut 73.93 mata kepada 9,092.58.

FBM 70 merosot 25.72 mata kepada 10,524.83 dan FBM Ace turun 25.08 mata kepada 3,956.73.

Mengikut sektor, Indeks Produk dan Perkhidmatan Industri turun 1.96 mata kepada 105.49, Indeks Perkhidmatan Kewangan susut 50.64 mata kepada 12,220.03 dan Indeks Perladangan 46.44 mata menguncup kepada 6,205.69.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )