Bursa dibuka tinggi hampir mencecah paras 1,600 mata

KUALA LUMPUR,. Bursa Malaysia dibuka tinggi hari ini berikutan keyakinan terhadap pemulihan pandemik COVID-19 selepas Gilead Sciences melaporkan beberapa perkembangan positif mengenai data percubaan klinikal.

Pada 9.10 pagi, petunjuk pasaran FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 7.28 mata kepada 1,599.12 daripada paras penutup 1,591.84 pada Jumaat minggu lepas.

Indeks itu dibuka tinggi naik 4.56 mata kepada 1,596.40.

Suasana pasaran positif dengan kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 380 berbanding 164, manakala 299 kaunter tidak berubah, 1,111 tidak diniagakan dan 22 yang lain digantung.

Jumlah dagangan berjumlah RM1.01 bilion saham bernilai RM396.9 juta.

Malacca Securities berkata pasaran saham Amerika Syarikat melantun semula apabila Dow Jones naik 1.4 peratus mencecah paras psikologi 26,000 selepas Gilead Sciences berkata Remdesivir mengurangkan risiko kematian bagi pesakit COVID-19 dan lebih banyak kajian diperlukan.

Bagaimanapun, di dalam negara ia berkata, pelabur mungkin kekal tidak memasuki pasaran susulan persidangan pertama Parlimen sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang bermula hari ini, apabila mereka menunggu perkembangan seterusnya politik tanah air.

“Semakan semula peraturan pemutus litar (circuit breaker) mungkin memberi sokongan bagi peningkatan seterusnya,” kata firma pembrokeran itu.

Pada Jumaat, Suruhanjaya Sekuriti dan Bursa Malaysia mengumumkan semakan semula sementara pengurusan pasaran sedia ada dan mekanisme kawalan seperti pemutus litar bagi menyediakan kestabilan dan keyakinan kepada pasaran.

Mekanisme yang disemak semula itu adalah bagi tempoh 20 Julai, 2020 hingga 18 Jan, 2021.

Antara lainnya, dagangan akan dihentikan sepanjang hari apabila indeks jatuh sebanyak agregat lebih daripada 15 peratus daripada indeks penutup hari pasaran sebelumnya.

Ketika ini, mata pencetus bagi menghentikan dagangan untuk sepanjang hari adalah apabila FBM KLCI turun sebanyak agregat 20 peratus.

“Mengikut sektor, kami masih memilih sektor penjagaan kesihatan dalam situasi COVID-19 yang masih belum mereda ini.

“Dalam pada itu, sektor pembinaan mungkin juga mencatatkan kenaikan sekiranya tidak berlaku perubahan besar politik dalam tempoh terdekat ini,” kata firma pembrokeran itu dalam satu nota penyelidikan.

Malacca Securities berkata momentum kecenderungan meningkat melepasi paras yang disebut di atas mungkin merangsang bursa tempatan melonjak lagi ke arah paras 1,600, diikuti 1,615, manakala risiko menurun kekal pada 1,550, diikuti 1,530.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Top Glove meningkat RM1.20 kepada RM23.12, Hartalega naik 54 sen kepada RM17.60 dan PetChem menokok lapan sen kepada RM6.38.

Bagaimanapun, harga minyak turun menjelang mesyuarat pengeluar-pengeluar utama pada minggu ini.

Sementara itu, Maybank dan Tenaga susut dua sen setiap satu masing-masing kepada RM7.88 dan RM11.34, manakala Public Bank berkurangan 22 sen kepada RM18.28.

Dalam kalangan kaunter paling cergas, PDZ Holdings meningkat 10.5 sen kepada 31 sen. Vivocom naik setengah sen kepada 4.5 sen dan VSolar susut satu sen kepada 4.5 sen.

Di papan indeks, FBM Emas meningkat 68.55 mata kepada 11,275.36, Indeks FBMT 100 menokok 68.26 mata kepada 11,129.64 dan Indeks FBM Emas Shariah melonjak 130.33 mata kepada 12,942.28.

FBM 70 naik sebanyak 155.72 mata kepada 13,972.57 manakala FBM ACE meningkat 57.56 mata kepada 7,233.21.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan turun 24.50 mata kepada 13,522.14, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian naik 0.61 mata kepada 139.68 dan Indeks Perladangan meningkat 82.09 mata kepada 6,872.11.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )