Bursa dibuka tinggi hari ini
KUALA LUMPUR,. Bursa Malaysia memulakan dagangan awal yang memberangsangkan hari ini dengan meneruskan peningkatan semalam dan trend itu dijangka berlanjutan, mengambil isyarat daripada prestasi semalaman Wall Street yang positif.
Pada 9.05 pagi, petunjuk pasaran FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meraih 5.04 mata kepada 1,538.95 selepas indeks utama itu ditutup tinggi 17.46 mata kepada 1,533.91 semalam.
Indeks itu dibuka tinggi 2.07 mata kepada 1,535.98.
Di pasaran meluas, kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 190 berbanding 91, manakala 191 kaunter tidak berubah, 1,838 tidak diniagakan dan 16 yang lain digantung.
Jumlah dagangan berjumlah 108.64 juta unit bernilai RM51.91 juta.
Malacca Securities Sdn Bhd dalam nota penyelidikan berkata, FBM KLCI meningkat kukuh, disokong kebanyakan kaunter saham wajaran tinggi dalam tempoh aktiviti memperelok akaun yang berterusan, dengan saham wajaran tinggi dijangka mengekalkan momentum peningkatannya dalam masa terdekat.
“Sementara itu, kami menjangka sektor minyak dan gas akan didagangkan aktif pada sesi ini, disokong harga minyak mentah Brent yang kukuh. Malah, kami yakin peniaga mungkin menumpukan kepada saham yang mencatatkan pemulihan ketika kerisauan terhadap Omicron yang semakin reda,” katanya.
Malaysia bertentangan dengan prestasi bercampur-campur di pasaran serantau semalam dengan saham berharga rendah meningkat, manakala 13 indeks sektor utama ditutup positif.
Menurut firma itu, petunjuk teknikal kekal positif dan paras rintangan selanjutnya dijangka pada 1,560, manakala paras sokongan pada sekitar 1,500-1,530.
Dalam kalangan saham wajaran tinggi, IHH menokok sembilan sen kepada RM6.75, PPB menambah 26 sen kepada RM16.96, dan TopGlov dan PMetal meningkat empat sen masing-masing kepada RM2.4 dan RM5.69.
Sementara itu, Maybank jatuh satu sen kepada RM8.29, manakala PBBank, PChem dan CIMB masing-masing tidak berubah pada RM4.15, RM8.85, RM6.57 dan RM5.39.
Bagi saham aktif, KAB dan Technax masing-masing meningkat setengah sen kepada 26.5 sen dan 8.5 sen, Pestech tinggi 3.5 sen kepada 83 sen, Opcom meningkat 1.5 sen kepada 96.5 sen, manakala DNex tidak berubah pada 76 sen.
Di papan indeks, Indeks FBM Emas tinggi 34.99 mata kepada 11,136.90, Indeks FBMT 100 naik 35.30 mata kepada 10,844.51 dan Indeks FBM Emas Syariah menokok 52.18 mata kepada 11,993.85.
FBM 70 menambah 45.13 mata kepada 14,121.31dan FBM ACE naik 29.41 mata kepada 6,307.34.
Mengikut sektor, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian meningkat 0.57 mata kepada 199.88, Indeks Perladangan naik 1.35 mata kepada 6,548.53, dan Indeks Perkhidmatan Kewangan meningkat 7.80 mata kepada 15,522.86.
–BERNAMA