
Bursa kekal pada paras tertinggi dalam tempoh enam bulan dalam dagangan awal
KUALA LUMPUR,. Bursa Malaysia kekal pada paras tertinggi dalam tempoh enam bulan dalam dagangan awal hari ini dalam persekitaran suasana pasaran yang bercampur-campur.
Kenaikan saham sarung tangan terus menerajui indeks FBM KLCI tetapi aliran meningkat terhad berikutan penurunan terutamanya dalam saham wajaran tinggi MISC, CIMB dan KLK serta belian secara bergilir-gilir dalam kalangan saham berharga rendah.
Pada 9.15 pagi, petunjuk pasaran FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) naik 1.87 mata kepada 1,608.30 selepas berada antara peningkatan dan penurunan dengan sedikit perubahan sebelumnya.
Indeks dibuka tinggi 1.85 mata kepada 1,608.28 berbanding 1,606.43 semasa ditutup pada Isnin.
Suasana pasaran negatif dengan kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 268 berbanding 203, manakala 329 kaunter tidak berubah, 1,154 tidak diniagakan dan 22 yang lain digantung.
Jumlah dagangan sebanyak 806.24 juta saham bernilai RM580.48 juta.
Malacca Securities berkata pelabur akan memantau kadar pengangguran Malaysia bagi Mei 2020, selepas mencatatkan 5.0 peratus pada April 2020.
“Walaupun sektor penjagaan kesihatan akan terus menggalakkan, kami berpendapat sektor teknologi akan turut meningkat berikutan syarikat di seluruh dunia melakukan transformasi digital dan automasi,” katanya dalam nota hari ini.
Di luar negara, pelabur akan menerima pengumuman pendapatan korporat dari AS, dan penganalisis mengunjurkan -44.6 peratus tahun ke tahun untuk penyusutan pendapatan pada suku kedua 2020.
Firma penyelidikan itu berkata indeks dijangka menguji semula paras halangan segera pada 1,615 untuk tempoh akan datang, diikuti 1,640 dan risiko penurunan kini pada 1,570, diikuti 1,550.
Selain itu, seorang penganalisis berkata mesyuarat OPEC, yang dijadualkan esok akan membincangkan mengenai pengeluaran apabila pelabur bimbang berikutan kes COVID-19 yang meningkat.
Minyak mentah Brent dan WTI, masing-masing susut kepada US$41.90 dan US$39.19 setong.
Dalam negara, saham wajaran tinggi, Top Glove naik 92 sen kepada RM24.92, Hartalega meningkat 20 sen kepada RM18.10, PetChem menambah tujuh sen kepada RM6.29 dan Hap Seng menokok tiga sen kepada RM9.05.
MISC susut 11 sen kepada RM7.77, CIMB merosot empat sen kepada RM3.76 dan KLK turun 34 sen kepada RM22.30.
Daripada saham paling aktif, Hubline naik satu sen kepada 8.5 sen, Anzo menambah dua sen kepada 17.5 sen serta PDZ dan Sanichi, masing-masing meningkat setengah sen kepada 24 sen dan sembilan sen.
Indeks FBM Emas naik 24.25 mata kepada 11,343.07, Indeks FBMT 100 meningkat 28.43 mata kepada 11,203.48 dan Indeks FBM Emas Shariah menambah 62.63 mata kepada 13,062.65.
FBM 70 meningkat 96.89 mata kepada 14,104.83 dan FBM ACE menambah 14.74 mata kepada 7,262.25.
Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan merosot 42.40 mata kepada 13,509.30, Indeks Perladangan susut 15.98 mata kepada 6,829.30 dan Indeks Produk Perindustrian dan Perkhidmatan berkurangan 0.02 mata kepada 138.91.
— BERNAMA