Bursa Malaysia akhiri peningkatan tujuh hari berturut-turut

KUALA LUMPUR,. Bursa Malaysia mengakhiri peningkatan selama tujuh hari berturut-turut untuk dibuka rendah hari ini berikutan pelabur mengambil keuntungan menjelang cuti Hari Raya Aidilfitri yang akan bermula pada Ahad hingga Selasa depan.

Pada 9.05 pagi, petunjuk pasaran FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) merosot 4.25 mata, atau 0.29 peratus kepada 1,447.86 daripada 1,452.11 semasa ditutup pada Khamis.

Indeks dibuka rendah 0.74 mata kepada 1,451,37.

Suasana pasaran agak positif, dengan kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 188 berbanding 184, manakala 258 kaunter tidak berubah, 1,277 tidak diniagakan dan 49 yang lain digantung.

Jumlah dagangan sebanyak 270.32 juta unit bernilai RM169.23 juta.

Malacca Securities Sdn Bhd berkata, susulan cuti perayaan pada hujung minggu yang panjang, pengambilan untung membolehkan pelabur menerima peningkatan baru-baru ini, apabila indeks utama mencatatkan peningkatan kira-kira lima peratus sejak awal minggu lalu.

“Kami berpendapat penurunan dijangka di FBM KLCI. Selain itu, ekuiti global yang merosot dan situasi meningkat boleh menyebabkan kemerosotan di bursa tempatan dalam masa terdekat,” katanya dalam nota hari ini.

Dari segi teknikal, firma pembrokeran itu berkata, petunjuk dilihat terlebih beli yang boleh mendorong penurunan untuk indeks utama disokong pada paras 1,430.

“Peningkatan terhad, masing-masing pada paras 1,480 dan 1,500,” katanya.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, IHH dan Petronas Chemicals, masing-masing susut 14 sen kepada RM5.56 dan RM6.03, Axiata merosot lima sen kepada RM3.72, Genting Malaysia berkurangan tujuh sen kepada RM2.29 dan Genting turun 10 sen kepada RM3.98.

Daripada saham aktif, KUB susut empat sen kepada 42 sen, Comfort Glove merosot 11 sen kepada RM2.65, MLABS menambah setengah sen kepada empat sen, manakala waran Green Packet dan Excel Force MSC, masing-masing meningkat dua sen kepada 33 sen dan 54.5 sen.

Indeks FBM Emas susut 26.68 mata kepada 10,278.42, Indeks FBMT 100 berkurangan 36.64 mata kepada 10,112.68, Indeks FBM Emas Shariah merosot 32.65 mata kepada 11,718.65.

FBM ACE susut 19.89 mata kepada 5,488.69 dan FBM 70 berkurangan 74.99 mata kepada 12,846.08.

Mengikut sektor, Indeks Produk Perindustrian dan Perkhidmatan susut 1.13 mata kepada 126.14, bagaimanapun Indeks Perkhidmatan Kewangan naik 5.10 mata kepada 12,553.79 dan Indeks Perladangan menokok 1.47 mata kepada 6,828.52.

-BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )