Bursa Malaysia becampur-campur pada pembukaan

KUALA LUMPUR,. Bursa Malaysia dibuka bercampur-campur dengan indeks utama didagangkan lemah, walaupun prestasi semalaman Wall Street kukuh, ekoran kurangnya momentum belian di kaunter wajaran tinggi.

Pada 9.05 pagi, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 2.71 mata kepada 1,600.84 berbanding 1,603.55 pada penutupan Khamis, selepas dibuka 1,599.93 pagi ini.

Berdasarkan kedudukan pasaran secara menyeluruh, kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 132 berbanding 87, manakala 187 kaunter tidak berubah, 1,570 tidak diniagakan manakala 19 yang lain digantung.

Jumlah dagangan sebanyak 93.94 juta saham bernilai RM36.22 juta.

Malacca Securities Sdn Bhd berkata pada hari-hari terakhir minggu ini, terdapat beberapa potensi untuk peningkatan selepas penurunan kecil sejak kebelakangan ini, yang boleh memberi dorongan untuk peningkatan dalam tempoh terdekat, di tengah-tengah kegiatan pembelian semasa harga rendah selain aktiviti memperelok akuan yang dijangkakan dapat meningkatkan pasaran global.

Sementara itu, FBM KLCI mampu meningkat ke paras 1,621 di tengah-tengah aktiviti memperelok akaun. Sementara itu, sokongan pada 1,590 dan 1,580,” katanya dalam nota hari ini.

Bagi saham wajaran tinggi di Bursa Malaysia, Kuala Lumpur Kepong susut 40 sen kepada RM24.40, Sime Darby Plantation turun lima sen kepada RM5.34, TNB susut enam sen kepada RM13.32, Maxis merosot empat sen kepada RM5.34, Hong Leong Financial Group susut 26 sen kepada RM16.84 manakala PPB turun 20 sen kepada RM19.50.

Petronas Chemicals menokok tiga sen kepada RM7.41, CIMB naik dua sen kepada RM5.27, Axiata menambah satu sen kepada RM4.22, Hong Leong Bank meningkat enam sen kepada RM17.60, manakala Maybank, Public Bank dan IHH Healthcare masing-masing kekal pada RM8 .64, RM19.68 dan RM5.60.

Bagi saham aktif, TDM dan Alam Maritim naik setengah sen kepada 32.5 sen dan 14 sen, Rimbunan Sawit dan MTAG menokok satu sen kepada 39 sen dan 55.5 sen, TRC Synergy meningkat lima sen kepada 47 sen, manakala Netx dan Inari Amertron masing-masing tidak berubah pada dua sen dan RM1.70.

Indeks FBM Emas merosot 6.96 mata kepada 11,364.59, Indeks FBM Emas Shariah menyusut 12.51 mata kepada 11,986.74 manakala Indeks FBMT 100 turun 11.13 mata kepada 11,157.97.

FBM Ace meningkat 12.73 mata kepada 5,162.03 dan FBM 70 menambah 17.90 mata kepada 14,093.72.

Mengikut sektor, Indeks produk dan perkhidmatan Perusahaan meningkat 0.09 mata kepada 153.42, Indeks Perkhidmatan Kewangan turun 3.64 mata kepada 15,574.01 manakala Indeks Perladangan merosot 37.36 mata kepada 7,570.63.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )