Bursa Malaysia bercampur-campur pada awal dagangan
KUALA LUMPUR,. Bursa Malaysia memulakan dagangan pagi Khamis dengan prestasi bercampur-campur susulan sentimen berhati-hati yang terus menguasai pasaran ketika para pelabur meneliti laporan pendapatan korporat bagi suku keempat 2020.
Walaupun pendapatan korporat yang positif itu menandakan isyarat pemulihan ekonomi global, kalangan penganalisis sebaliknya menjangkakan saham Asia berkemungkinan susut pada Khamis akibat aktiviti pengambilan untung susulan penyusutan saham teknologi dan runcit akibat aktiviti pengambilan untung yang memberi kesan terhadap pasaran penanda aras Amerika Syarikat.
Pada Selasa, firma gergasi teknologi Alphabet Inc dan Amazon.com Inc mencatatkan keuntungan kukuh dan mendorong indeks teknologi tempatan mencatat keuntungan sebanyak 3.2 peratus.
Pada 9.01 pagi Khamis, indeks petunjuk utama FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) turun 1.49 mata kepada 1,581.50 daripada 1,582.99 sewaktu ditutup pada Rabu.
Indeks tersebut dibuka menokok 0.89 mata kepada 1,582.10.
Di pasaran meluas, kaunter untung mengatasi rugi iaitu 232 berbanding 92 manakala 230 kaunter lain tidak berubah, 1,576 tidak didagangkan dan 11 lain digantung.
Jumlah dagangan sebanyak 248.88 juta unit bernilai RM73.35 juta.
Sementara itu, firma pembrokeran Rakuten Trade menjangkakan keadaan pasaran terus tidak menentu berikutan pendirian pelabur yang lebih mengutamakan perkembangan jangka pertengahan.
“Prestasi FBM KLCI pada Rabu misalnya menunjukkan bahawa sentimen pelabur masih lemah. Namun, kami menjangkakan indeks penanda aras itu dapat mengekalkan aliran peningkatannya sekitar paras 1,585/90 dengan paras ketara pada 1,600,” katanya dalam nota pada Khamis.
Ia turut menjangkakan minat belian terhadap saham-saham minyak dan gas terus meningkat apabila harga minyak mentah Brent bergerak ke arah US$60 setong apabila menokok 1.8 peratus kepada sekitar US$58.50 pada Rabu.
Saham wajaran tinggi menyaksikan Maybank naik satu sen kepada RM7.95, Public Bank menokok dua sen kepada RM4.12, Petronas Chemicals susut empat sen kepada RM7.06 dan Top Glove merosot tujuh sen kepada RM6.75.
Bagi saham aktif, KNM menokok setengah sen kepada 19 sen, Luster Industries meningkat 1.5 sen kepada 23.5 sen manakala Sanichi susut setengah sen pada 4.5 sen.
Di papan indeks, Indeks FBM Emas naik 13.01 mata kepada 11,502.32, Indeks FBMT 100 meraih 3.49 mata kepada 11,228.29 manakala Indeks Syariah FBM Emas turun 0.83 mata kepada 13,049.07.
FBM 70 pula meningkat 59.27 mata kepada 14,974.58 dan FBM ACE menambah 7.15 mata kepada 10,952.29.
Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan naik 46.79 mata kepada 14,595.96, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian menokok 0.04 mata kepada 173.84 namun Indeks Perladangan susut 40.48 mata kepada 7,133.88.
— BERNAMA