Bursa Malaysia bermula tinggi sebelum susut

Bursa Malaysia bermula tinggi sebelum susut

KUALA LUMPUR,. Bursa Malaysia dibuka tinggi buat seketika pagi ini tetapi mulai menyusut kemudiannya berikutan sentimen berhati-hati di pasaran dengan kes harian COVID-19 kekal melepasi paras 10,000.

Pada Ahad, Malaysia mencatatkan 10,710 kes baharu dengan 153 kematian.

Pada jam 9.08 pagi, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) yang menjadi penanda aras pasaran turun 1.67 mata kepada 1,520.81 daripada 1,522.48 pada penutupan Jumaat minggu lalu.

Indeks utama dibuka 0.19 mata lebih tinggi pada 1,522.67.

Pergerakan harga di pasaran negatif dengan kaunter rugi mengatasi untung 207 berbalas 169 manakala 301 kaunter tidak berubah, 1,565 tidak diniagakan dan 10 yang lain digantung.

Jumlah dagangan ialah 327.79 juta unit bernilai RM258.10 juta.

Menurut Malacca Securities Sdn Bhd, sasaran imunisasi baharu oleh kerajaan untuk memberi vaksin sepenuhnya kepada 100 peratus populasi dewasa menjelang Oktober 2021 dijangka dapat meningkatkan keyakinan pelabur terhadap jalan pemulihan ekonomi.

“Dalam perkembangan lain, Pertubuhan Negara-negara Pengeksport Petroleum dan sekutunya (OPEC+) bersetuju meningkatkan pengeluaran minyak mulai bulan Ogos di tengah-tengah peningkatan permintaan dan ini dapat meredakan tekanan terhadap bekalan serta harga minyak,” katanya dalam satu nota penyelidikan hari ini.

Dengan kemajuan pemberian vaksinasi COVID-19 yang semakin baik, pelabur mungkin mengalihkan fokus mereka kepada saham yang merosot teruk baru-baru ini berbanding sektor bertemakan pemulihan seperti segmen pengguna, hartanah dan pembinaan serta bahan binaan, tambah Malacca Securities.

“Selain itu, minat belian dalam saham teknologi juga dijangka dapat bertahan minggu ini,” kata firma broker itu.

Dalam kalangan saham berwajaran tinggi, Maybank naik dua sen kepada RM8.07, Top Glove meningkat satu sen kepada RM3.98, Public Bank, Petronas Chemicals, IHH Healthcare dan Hong Leong Bank masing-masing tidak berubah pada RM4.06, RM8.05, RM5.69 dan RM18.30.

Sementara itu, TNB turun satu sen kepada RM9.69 dan CIMB merosot tiga sen kepada RM4.50.

Bagi saham aktif, CTOS Dgital melonjak 57 sen kepada RM1.67, Privasia dan Permaju naik masing-masing setengah sen kepada 24 sen dan 11.5 sen, sementara Velesto turun setengah sen kepada 14 sen, B.I.G Industries susut empat sen kepada 99.5 sen dan Pasukhas kerugian 1.5 sen kepada 11 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas menyusut 8.79 mata kepada 11,107.78, Indeks FBMT 100 turun 10.52 mata kepada 10,813.81 dan FBM ACE lebih rendah 10.81 mata kepada 7,229.76.

Indeks FBM Emas Syariah turun 11.90 mata pada 12,173.01 dan FBM 70 jatuh 8.75 mata kepada 14,485.78.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan meningkat 5.14 mata kepada 14,901.01, Indeks Perladangan menambah 5.21 mata kepada 6,197.97 dan Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian turun 0.05 mata menjadi 188.55.

-BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This