Bursa Malaysia berrcampur-campur selepas dibuka tinggi berikutan pengambilan untung

KUALA LUMPUR,. Bursa Malaysia mencatatkan prestasi bercampur-campur selepas dibuka tinggi berikutan aktiviti pengambilan untung dalam saham berwajaran tinggi terpilih.

Pada 9.15 pagi, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) turun 3.39 mata kepada 1,592.42 daripada 1,595.81 ketika ditutup pada Jumaat minggu lepas.

Indeks itu dibuka 0.58 mata lebih tinggi kepada 1,596.39 pagi ini.

Bagaimanapun, lingkungan pasaran keseluruhan di Bursa Malaysia adalah positif dengan kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 175 berbanding 143, manakala 229 kaunter kekal tidak berubah, 1,420 kaunter tidak diniagakan dan 24 yang lain digantung.

Jumlah dagangan sebanyak 240.02 juta saham bernilai RM90.52 juta.

Menurut Malacca Securities Sdn Bhd, Bursa Malaysia berada pada momentum menaik minggu lepas dengan banyak kenaikan didorong oleh sentimen perdagangan yang bertambah baik di seluruh dunia selain penyambungan semula projek infrastruktur mega seperti Transit Aliran Massa (MRT) Laluan 2 Lembah Klang.

Sentimen positif itu telah menarik dana baharu ke dalam ekuiti Malaysia seperti yang ditunjukkan menerusi peningkatan aktiviti perdagangan, dari segi jumlah dagangan dan nilai, menurut firma penyelidikan itu.

“Kami menjangkakan pemulihan akan kekal kukuh bagi tempoh akan datang dan mungkin menguji pergerakan ke paras psikologi 1,600. Selain itu, kenaikan selanjutnya dijangka pada paras 1,615. Pada masa yang sama, 1,575 akan berperanan sebagai tahap sokongan serta-merta, diikuti paras 1,570.

“Saham berharga murah dan saham pasaran meluas juga menunjukkan kenaikan semula dan dijangka mencatatkan sedikit peningkatan pada jangka terdekat. Pembelian secara bergilir-gilir mugkin berterusan memandangkan kita berada dalam minggu sambutan perayaan,” katanya.

Antara saham berwajaran tinggi, Maybank susut dua sen kepada RM8.60, Public Bank turun 10 sen kepada RM19.50, Petronas Chemicals kurang satu sen kepada RM7.02 manakala Tenaga menambah dua sen kepada RM12.92.

Dalam kalangan saham aktif, Vortex dan Xinghe masing-masing meningkat setengah sen kepada 11 sen dan 27 sen, TDM kurang 1.5 sen kepada 30 sen dan Melewar naik dua sen kepada 30.5 sen.

Di papan skor, Indeks FBM Emas turun 13.97 mata kepada 11,349.57, Indeks FBM Emas Syariah kurang 2.91 mata kepada 12,016.31, Indeks FBMT 100 susut 15.18 mata kepada 11,137.55, FBM 70 naik 15.78 mata kepada 14,225.67 dan FBM Ace menokok 31.36 mata kepada 5,596.48.

Mengikut sektor, Indeks Barangan dan Perkhidmatan Perindustrian naik 0.08 mata kepada 153.96, Indeks Perkhidmatan Kewangan merosot 52.66 mata kepada 15,365.58 dan Indeks Perladangan turun 34.62 mata kepada 7,500.81.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )