Bursa Malaysia dibuka bercampur-campur

Bursa Malaysia dibuka bercampur-campur

KUALA LUMPUR,. Bursa Malaysia dibuka bercampur-campur hari ini berikutan pelabur global menunggu hala tuju baharu selain mengambil kira ketidaktentuan yang berterusan dalam pasaran global.

Pada 9.06 pagi, petunjuk pasaran FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) merosot 1.27 mata kepada 1,596.14 mata daripada 1,597.41 pada Jumaat lepas.

Indeks dibuka tinggi 0.18 mata kepada 1,597.59.

Di pasaran lebih luas, kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 115 berbanding 90, manakala 178 kaunter tidak berubah, 1,604 tidak diniagakan dan 23 yang lain digantung.

Jumlah dagangan sebanyak 130.09 juta saham bernilai RM40.75 juta.

Malacca Securities dalam nota ekuitinya hari ini berkata kekurangan pemangkin baharu dijangka mengekalkan jajaran kecil barometer pasaran pada paras 1,590 dan 1,610 dalam tempoh terdekat.

“Paras sokongan dan halangan, masing-masing pada 1,580 dan 1,620,” katanya.

Katanya pada masa ini, banyak saham berharga rendah dan saham pasaran lebih luas berada dalam trend mendatar dan mencari pemangkin baharu.

“Bagaimanapun, dengan tiada petunjuk baharu, kami menyaksikan saham pasaran FBM Small Cap, FBM Fledgling dan FBM ACE buat masa ini dijangka kekal dalam jajaran kecil,” katanya.

Daripada kaunter saham wajaran tinggi, Maybank dan CIMB, masing-masing naik satu sen kepada RM8.74 dan RM5.03, Tenaga Nasional merosot empat sen kepada RM13.66, Petronas Chemical turun tiga sen kepada RM7.66 manakala Public Bank tidak berubah pada RM20.16.

Bagi saham aktif, Ikhmas Jaya dan Scomi, masing-masing naik setengah sen kepada 13 sen dan 8.5 sen, FGV meningkat 4.5 sen kepada 94 sen, manakala Scomi Energy dan Reach Energy, masing-masing menambah satu sen kepada 12.5 sen dan 21.5 sen.

Indeks FBM Emas susut 4.52 mata kepada 11,278.45, Indeks FBMT 100 merosot 5.4 mata kepada 11,109.96 dan Indeks FBM Emas Shariah berkurangan 8.65 mata kepada 11,825.67.

FBM 70 naik 7.18 mata kepada 13,970.34 manakala FBM Ace meningkat 3.75 mata kepada 4,577.02.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan naik 15.22 mata kepada 15,477.15, Indeks Perladangan merosot 2.22 mata kepada 6,778.89 serta Indeks Produk Perindustrian dan Perkhidmatan susut 0.25 mata kepada 154.30.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This