Bursa Malaysia dibuka lebih tinggi

Bursa Malaysia dibuka lebih tinggi

KUALA LUMPUR,. Bursa Malaysia dibuka tinggi sedikit pagi ini berikutan kemunculan kegiatan membeli semasa harga saham murah dengan diselangi oleh aktiviti pengambilan untung.

Pada jam 9.03 pagi, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) yang menjadi penanda aras pasaran meningkat 0.69 mata atau 0.04 peratus kepada 1,579.14 daripada 1,578.45 penutupan Jumaat minggu lalu.

Indeks utama dibuka 2.99 mata lebih tinggi pada 1,581.44.

Pergerakan harga di pasaran positif dengan kaunter untung mengatasi rugi 285 berbalas 132 sementara 279 kaunter tidak berubah, 1,444 tidak diniagakan dan 10 yang lain digantung.

Jumlah dagangan adalah 344.42 juta saham bernilai RM165.35 juta.

Menurut Malacca Securities, dengan mengambil petunjuk daripada pergerakan mendatar di Wall Street, pelabur mungkin tidak memasuki pasaran dan pada masa sama terus memantau indeks pengeluaran perindustrian Malaysia yang dijadual diumumkan pada Jumaat dan keputusan kadar faedah Bank Pusat Eropah pada hari Khamis.

“Juga, kami turut menjangkakan sentimen akan terus lemah untuk saham teknologi kerana Presiden AS Joe Biden telah memperluas senarai syarikat China yang dilarang membuat pelabuaran di AS.

“Dari segi komoditi pula, harga minyak sawit mentah dan minyak Brent diramal mengalami penurunan sedikit,” katanya.

Firma penyelidikan itu menambah, kaunter pengangkutan dan logistik pula mungkin kekal fokus berikutan lonjakan kukuh pada Khamis lalu dan kaunter-kaunter ini seharusnya mempamerkan prestasi baik di bawah persekitaran COVID-19.

Kaunter pengangkutan dan logistik mencatat kenaikan tertinggi hari ini, meningkat 2.18 peratus.

“Selain itu, kami mengunjurkan sektor berkaitan kimia akan kekal menarik.

“Juga, dengan kes COVID-19 yang kain mereda, saham bertemakan pemulihan patut diberikan tumpuan,” tambah firma itu lagi.

Dalam kalangan kaunter berwajaran tinggi, Maybank naik satu sen kepada RM8.18, Public Bank, IHH dan CIMB masing-masing dua sen lebih tinggi pada RM4.22, RM5.32 dan RM4.47, sementara PetChem turun enam sen kepada RM8.02 dan Press Metal merosot dua sen kepada RM5.19.

Bagi kaunter aktif, Hibiscus meningkat 10 sen kepada 75.5 sen, NWP naik satu sen kepada 19.5 sen dan Serba Dinamik turun empat sen kepada 72.5 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas meningkat 22.76 mata pada 11,540.56, Indeks FBMT 100 menambah 16.73 mata kepada 11,222.31, Indeks FBM Emas Syariah naik 11.84 mata kepada 12,740.14, FBM ACE menokok 6.09 mata kepada 7,806.39 dan FBM 70 memperoleh 68.09 mata kepada 15,008.00.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan mengukuh 44.99 mata kepada 15,189.67, Indeks Produk dan Perkhidmatan Industri turun 0.20 mata kepada 193.18 dan Indeks Perladangan naik 24.30 mata kepada 6,794.10.

Bursa Malaysia Bhd dan anak-anak syarikatnya ditutup semalam sempena cuti umum Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

-BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )