Bursa Malaysia dibuka lebih tinggi

Bursa Malaysia dibuka lebih tinggi

KUALA LUMPUR,. Bursa Malaysia meningkat semula daripada penurunan semalam untuk dibuka tinggi hari ini, didorong oleh minat belian baharu dalam saham wajaran tinggi terpilih berikutan pelabur mengambil peluang daripada harga rendah, kata peniaga.

Pada 9.15 pagi, petunjuk pasaran FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 5.58 mata kepada 1,600.49 daripada 1,586.89 semasa ditutup pada Rabu.

Ia dibuka tinggi 1.42 mata kepada 1,588.31.

Suasana pasaran positif dengan kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 269 berbanding 219, manakala 304 kaunter tidak berubah, 1,426 tidak diniagakan dan enam yang lain digantung.

Jumlah dagangan sebanyak 501.35 juta unit bernilai RM245.16 juta.

Dalam nota penyelidikan hari ini, Malacca Securities Sdn Bhd berkata pihaknya menjangka saham tempatan terus mencatatkan peningkatan selepas berhenti seketika berikutan keyakinan pelabur dapat ditingkatkan oleh penyata pra-belanjawan Kementerian Kewangan.

Katanya Pertubuhan Negara-Negara Pengeksport Petroleum dan sekutunya (OPEC+) dijangka meneruskan dengan kenaikan pengeluaran secara berperingkat yang sedia ada walaupun mempunyai semakan semula prospek permintaan 2022 yang lebih tinggi, yang boleh meningkatkan harga minyak dalam tempoh jangka panjang.

“Pelabur dijangka terus menyasarkan sektor yang mencatatkan pemulihan hari ini seperti bahan binaan, perbankan dan pengguna berikutan penurunan semalam.

“Saham teknologi dijangka menjejaki peningkatan semalaman di Nasdaq dan saham berkaitan solar dijangka menyaksikan minat dagangan yang tinggi berikutan kontrak solar fotovoltaik (PV) telah diberikan kepada beberapa syarikat,” katanya.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank dan Public Bank, masing-masing susut 1.0 sen kepada RM8.29 dan RM4.07 manakala Petronas Chemicals menambah 2.0 sen kepada RM8.31, Tenaga Nasional naik 10 sen kepada RM10.44 dan IHH Healthcare meningkat 9.0 sen kepada RM6.42.

Daripada saham aktif, Ho Wah Genting naik 7.0 sen kepada 37 sen, TFP Solution menambah 1.0 sen kepada 23 sen, bagaimanapun TA Win dan Sapura Energy, masing-masing susut setengah sen kepada 16.5 sen dan 12.5 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas naik 28.76 mata kepada 11,590.10, Indeks FBMT 100 meningkat 32.44 mata kepada 11,297.48 dan Indeks FBM Emas Shariah menokok 52.43 mata kepada 12,751.52.

FBM 70 naik 15.23 mata kepada 15,023.68 dan FBM ACE meningkat 2.46 mata kepada 7,218.48.

Mengikut sektor, Indeks Perladangan naik 18.30 mata kepada 6,775.89 serta Indeks Produk Perindustrian dan Perkhidmatan meningkat 0.01 mata kepada 199.58 manakala Indeks Perkhidmatan Kewangan merosot 6.28 mata kepada 15,390.26.

– Bernama

CATEGORIES
TAGS
Share This