Bursa Malaysia dibuka lebih tinggi

Bursa Malaysia dibuka lebih tinggi

KUALA LUMPUR,. Dagangan di Bursa Malaysia dibuka tinggi sedikit pagi ini seiring dengan prestasi bursa serantau yang meneruskan kerancakan semalam apabila para pelabur berpandangan bahawa laporan pekerjaan Amerika Syarikat (AS) yang lemah adalah sesuatu yang positif untuk pasaran.

Data itu memungkinkan Rizab Persekutuan (Fed) perlu menangguhkan pengurangan langkah rangsangan dan ini telah membantu pasaran, kata peniaga.

Pada jam 9.06 pagi, indeks penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 1.87 mata kepada 1,583.46 berbanding 1,581.59 pada penutupan Isnin.

Indeks utama dibuka 0.16 mata lebih tinggi pada 1,581.75.

Pergerakan harga di pasaran positif dengan kaunter untung mengatasi kaunter rugi 260 berbalas 129, manakala 326 kaunter tidak berubah, 1,512 tidak diniagakan dan 25 yang lain digantung.

Jumlah dagangan ialah 278.93 juta unit bernilai RM109.51 juta.

Menurut Malacca Securities Sdn Bhd, perbincangan yang sedang berlangsung mengenai kelonggaran prosedur operasi standard (SOP) sebagai persediaan memasuki fasa endemik COVID-19, ditambah dengan penurunan jangkitan harian mungkin dapat mendorong saham bertemakan pemulihan secara menyeluruh.

Bagi harga komoditi pula, minyak sawit mentah (MSM) terus meningkat, begitu juga dengan harga aluminium berikutan kebimbangan mengenai bekalan bahan mentah di tengah-tengah situasi rampasan kuasa di Guinea, pembekal bauksit utama.

“Dengan jangkitan harian COVID-19 menyusut ke tahap terendah dalam tempoh 28 hari, kami percaya tumpuan akan kekal pada saham bertemakan pemulihan seperti perbankan, pengguna, pembinaan dan hartanah.

“Selain itu, kaunter bahan binaan mungkin mendapat daya tarikan berikutan harga aluminium yang lebih tinggi. Sementara itu, kaunter perladangan dijangka menarik minat pelabur dalam situasi harga MSM yang lebih tinggi,” tambahnya.

Dalam kalangan saham berwajaran tinggi, Maybank naik satu sen kepada RM8.34, Petronas Chemicals menambah tiga sen kepada RM8.13, Tenaga Nasional susut empat sen kepada RM10.30 sementara Public Bank dan IHH Healthcare masing-masing tidak berubah pada RM4.09 dan RM6.35 .

Bagi kaunter aktif, KNM meningkat 1.5 sen kepada 30.5 sen, GIIB Holdings naik 4.5 sen kepada lima sen, TFP Solution untung satu sen kepada 24 sen sementara Hubline dan Lambo masing-masing tidak berubah pada empat sen dan 14 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas menokok 13.60 mata kepada 11,594.45, Indeks FBMT 100 naik 13.90 mata pada 11,286.38 dan Indeks FBM Emas Syariah menambah 18.60 mata kepada 12,693.55.

FBM 70 meningkat 20.83 mata kepada 15,224.58 sementara FBM ACE naik 42.30 mata kepada 7,317.88.

Mengikut sektor, Indeks Perladangan lebih tinggi 7.29 mata kepada 6,633.0, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian meningkat 0.80 mata kepada 200.91 dan Indeks Perkhidmatan Kewangan naik 12.24 mata kepada 15,488.46.

-BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This