Bursa Malaysia dibuka lebih tinggi

Bursa Malaysia dibuka lebih tinggi

KUALA LUMPUR,. Bursa Malaysia meningkat semula hari ini selepas mencatatkan penurunan selama tiga hari berturut-turut, didorong sentimen positif susulan pengumuman Malaysia untuk membuka semula sempadan antarabangsa mulai 1 April ini.

Pada 9.05 pagi, petunjuk pasaran FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) tinggi 4.80 kepada 1,551.67 daripada 1,546.87 pada Selasa.

Indeks itu dibuka kukuh 3.45 mata kepada 1,550.32.

Suasana pasaran positif dengan kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 249 berbanding 85, manakala 218 kaunter tidak berubah,1,721 tidak diniagakan dan 11 yang lain digantung.

Jumlah dagangan sebanyak 116.73 juta unit bernilai RM72.52 juta.

Malacca Securities Sdn Bhd dalam nota Market Pulse hari ini berkata peniaga mungkin mula memberikan tumpuan kepada sektor bertemakan pelancongan dan penerbangan susulan pengumuman mengenai pembukaan semula sempadan.

Langkah itu adalah seiring dengan rancangan kerajaan kepada “fasa peralihan ke endemik”, selain usaha untuk memulihkan keseluruhan ekonomi negara terutamanya industri pelancongan yang telah terjejas teruk akibat pandemik.

Bagaimanapun, firma pembrokeran itu menegaskan bahawa kenaikan menyeluruh dijangka tidak kekal lama, mengambil isyarat daripada prestasi semalaman Wall Street walaupun mungkin terdapat aktiviti belian semasa harga rendah yang sederhana dalam sektor komoditi terpilih.

Wall Street mengalami dagangan yang tidak menentu sebelum susut lebih rendah selepas Purata Perindustrian Dow Jones merosot 0.6 peratus selepas Presiden Amerika Syarikat Joe Biden mengumumkan sekatan import terhadap bahan bakar fosil Russia.

“Pelabur juga akan memantau kenaikan harga komoditi yang mungkin akan diterjemahkan kepada inflasi yang ketara dan kos input kepada pelbagai industri,” katanya.

Malacca Securities juga yakin aliran meningkat semasa dalam sektor tenaga, perladangan dan logam dan logam berharga mungkin berterusan dengan kenaikan harga komoditi.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank menambah satu sen kepada RM8.81, Public Bank dan IHH Healthcare masing-masing menokok lima sen kepada RM4.35 dan RM6.43, Petronas Chemicals meraih empat sen kepada RM9.74, manakala Press Metal turun 13 sen kepada RM6.66.

Bagi saham aktif, Capital A menokok dua sen kepada 68.5 sen, DNex meningkat 2.5 sen kepada 96 sen dan SMTrack mengukuh setengah sen kepada 11 sen, manakala Ta Win dan Bumi Armada masing-masing tidak berubah pada 13.5 sen dan 42 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas meningkat 49.68 mata kepada 10,928.01, Indeks FBMT 100 menokok 45.94 mata kepada 10,639.74, Indeks FBM Emas Syariah naik 37.68 mata kepada 11,592.44, FBM 70 naik 112.28 mata kepada 12,577.58, dan FBM ACE meningkat 35.40 mata kepada 5,060.34.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan tinggi 84.52 mata kepada 15,854.89, manakala Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian naik 0.11 mata kepada 203.30 dan Indeks Perladangan naik 19.74 mata kepada 8,269.91.

– Bernama

CATEGORIES
TAGS
Share This