Bursa Malaysia dibuka rendah

Bursa Malaysia dibuka rendah

KUALA LUMPUR,. Bursa Malaysia dibuka rendah hari ini berikutan jangkaan terdapatnya satu lagi kenaikan kadar faedah oleh Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (AS) pada mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC) yang dijadualkan pada awal Mei, kata seorang penganalisis.

Pada 9.06 pagi, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) turun 2.46 mata kepada 1,429.90 daripada penutupan Selasa pada 1,432.36.

Indeks barometer dibuka pada paras 1,431.57, turun 0.79 mata.

Pergerakan harga di pasaran menyaksikan kaunter rugi mengatasi kaunter untung 141 berbalas 99, manakala 234 kaunter tidak berubah, 1,824 tidak diniagakan dan 11 yang lain digantung.

Jumlah dagangan 247.28 juta unit bernilai RM97.78 juta.

Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd, Thong Pak Leng memberitahu Bernama Purata Perindustrian Dow Jones (DJI) ditutup 10 mata lebih rendah pada Selasa, manakala Nasdaq tidak berubah dan hasil 10 tahun Perbendaharaan AS susut di bawah tahap 3.58 peratus.

Di dalam negara, beliau berkata pengumpulan oleh dana asing dapat dilihat, namun ia tidak cukup signifikan untuk memberi kesan besar menjelang cuti panjang untuk sambutan Hari Raya Aidilfitri.

“Oleh itu, kami mengunjurkan dagangan di bursa tempatan kekal lesu dan indeks mungkin terperangkap dalam mod stabil pada tahap semasa dan berlegar dalam julat 1,430-1,440 hari ini,” katanya.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank naik satu sen kepada RM8.71, manakala Public Bank susut dua sen menjadi RM3.96, Petronas Chemicals turun lima sen untuk mencatatkan harga RM7.35, CIMB rendah tiga sen kepada RM5.22 dan CelcomDigi kerugian satu sen kepada RM4.45.

Bagi saham aktif, Hong Seng tidak berubah pada 13 sen, Pharmaniaga menambah empat sen kepada 41.5 sen, SNS Network meningkat setengah sen kepada 28.5 sen dan Vinvest Capital menambah satu sen kepada 20 sen manakala Salutica susut 44 sen menjadi RM1. 21.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas menguncup 20.74 mata kepada 10,519.74, Indeks FBMT 100 lemah 21.80 mata kepada 10,200.40 dan Indeks FBM Emas Syariah turun 19.63 mata menjadi 10,870.26.

Indeks FBM ACE pula menyusut 7.55 mata pada 5,382.16 dan indeks FBM 70 berkurangan 47.05 mata kepada 13,770.02.

Mengikut sektor, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian susut 0.37 mata kepada 174.02, Indeks Perladangan turun 5.91 mata kepada 6,878.73 dan Indeks Perkhidmatan Kewangan merosot 23.48 mata kepada 15,707.98.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This