Bursa Malaysia dibuka rendah

KUALA LUMPUR,. Bursa Malaysia dibuka rendah pagi ini berikutan sentimen berhati-hati dengan para pelabur masih lagi menilai data keluaran dalam negara kasar (KDNK) negara yang diumumkan minggu lepas di tengah-tengah penguncupan besar ekonomi Jepun yang menyebabkan penurunan pasaran sahamnya serta beberapa saham Asia lain.

Pada 9.01 pagi, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) turun 0.03 mata kepada 1,544.43 daripada paras penutup 1,544.46 pada Jumaat minggu lepas selepas dibuka 1.49 mata lebih rendah kepada 1,542.97 pagi ini.

Bagaimanapun, kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 144 berbanding 56 dengan 194 kaunter tidak berubah, 1,573 tidak diniagakan dan 22 yang lain digantung.

Jumlah dagangan berjumlah 80.56 juta saham bernilai RM27.88 juta.

Nikkei Jepun dibuka 1.08 peratus lebih rendah kepada 23,431.29.

Malacca Securities Sdn Bhd berkata Bursa Malaysia dijangka menyaksikan pemulihan saham tempatan hari ini dengan indeks diunjur bergerak ke arah paras ketahanan 1,560 diikuti paras 1,570.

Sebaliknya, paras 1,535 kekal sebagai paras sokongan segera.

“Sentimen pasaran kekal bulis di kaunter berharga rendah meskipun prestasi indeks utama yang lemah kebelakangan ini. Kami melihat aktiviti gilliran kekal aktif tetapi kenaikan seterusnya akan dipengaruhi oleh pengumuman pendapatan korporat dalam masa seminggu dua ini,” kata firma pembrokeran itu dalam satu nota penyelidikan hari ini.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi di Bursa Malaysia, Maybank dan Tenaga tidak berubah masing-masing pada RM8.47 dan RM12.68, manakala Public Bank turun empat sen kepada RM17.58 dan Petronas Chemicals jatuh tiga sen kepada RM6.47.

Dalam kalangan kaunter cergas, Powerwell dan TH Heavy Engineering naik satu sen setiap satu masing-masing kepada 30.5 sen dan 13.5 sen, tetapi kedua-dua Securemetric dan Alam Maritim tidak berubah masing-masing pada 15 sen dan 15 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas naik 3.31 mata kepada 11,069.39, Indeks FBM Emas Shariah meningkat 1.27 mata kepada 11,900.30 dan Indeks FBMT 100 menokok 7.93 mata kepada 10,860.93.

FBM 70 menokok 43.58 mata kepada 14,114.60 dan FBM Ace naik 5.44 mata kepada 5,625.25.

Mengikut sektor, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian susut 0.28 mata kepada 146.43, Indeks Perkhidmatan Kewangan jatuh 6.94 mata kepada 14,566.02 tetapi Indeks Perladangan meningkat 3.4 mata kepada 7,338.51.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )